27 April 2013

Calon bebas Sepang berazam mahu jatuhkan Mohd Zin

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

(Hanipa [tengah] bersembang dengan calon bebas [kiri sekali] Hanapiah Mohamad di Masjid Al-Ulum semalam)

SEPANG: Kehadiran dua calon bebas yang merupakan bekas ahli Umno di Parlimen Sepang bertekad mahu tumbangkan calon BN Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed.

Kedua-dua calon itu, dilihat melawan arus perjuangan Umno apabila dengan berani menjadi calon bebas dalam pilihan raya kali ini.

Dua calon bebas itu masing-masing adalah Ajk Umno Bahagian, iaitu Hanapiah Mohamad dan Datuk Suhaimi Mohd Ghazali 
yang sebelum ini bertanding di Dun Dengkil. 

Dalam tinjauan Harakahdaily di Parlimen Sepang semalam, Hanapiah dengan tegas mengatakan matlamatnya adalah untuk menjatuhkan Mohd Zin.

Ketika mengajukan soalan kepada Hanapiah, adakah tindakan beliau untuk memecahkan undi PAS atau BN?

"Satu sahaja, saya hendak jatuhkan Zin," tegas Hanapiah ketika ditemui sebaik sahaja selesai solat Jumaat di Masjid Al-Ulum Kg Bukit Bangkong, Sungai Pelek.

Pada masa yang sama calon PAS Sepang, Mohamed Hanipa Maidin turut menunaikan solat Jumaat di masjid yang sama dan mereka bertemu sebaik sahaja selesai solat.

Sebelum solat Jumaat, Hanipa sempat menyampaikan tazkirah selama 20 minit.

Di kesempatan itu, Hanipa dan Hanapiah mengambil peluang bersembang dan bertanya khabar terutama berkaitan kerja-kerja berkempen.

Menurut Hanipa, beliau turut bertanya Hanapiah sama ada beliau 'berlakon' untuk menjadi calon bebas dalam PRU ini.

Jelasnya, Hanapiah bersungguh-sungguh menyatakan yang mereka memang ada gerakan untuk menjatuhkan Zin.

"Memang kuat gerakan di dalam Umno untuk menjatuhkan Zin, malah Suhaimi pun ada gerakannya sendiri," kata Hanipa.

Hanipa percaya sistem pesanan ringkas (SMS) 'yang meminta pengundi di Sepang undi calon Pakatan Rakyat mula disebarkan adalah daripada Suhaimi. 

"Saya percaya daripada dia, sebab dia ada mengaku. SMS sudah mula disebarkan," kata Hanipa kepada Harakahdaily.

Sebelum menunaikan solat Jumaat, Hanipa sempat menziarah kematian di Sungai Buah, Dengkil kemudian menghadiri ceramah kelompok di Putra Perdana sebelum bertemu pengundi di Bukit Canggang.

PRU kali ini, P.113 Sepang menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu dua calon bebas, calon PAS dan BN. Sepang mempunyai tiga Dun iaitu Dengkil, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek. 

Hanipa merupakan seorang peguam dan kini beliau adalah Penasihat Undang-undang PAS.

Harakahdaily/- 

Tiada ulasan: