27 April 2013

Tiga lelaki direman empat hari

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Tiga lelaki direman empat hari
Tiga lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret di Nibong Tebal, semalam bagi membantu siasatan kes letupan di belakang pentas bilik gerakan BN Nibong Tebal.
Nibong Tebal: Polis mendapatkan perintah reman empat hari bermula semalam ke atas tiga lelaki bagi membantu siasatan kes letupan di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal di Taman Jawi Jaya, Selasa lalu. 

Lelaki terbabit berusia 25 tahun hingga 41 tahun, tiba di pekarangan mahkamah dengan van polis kira-kira jam 2.45 petang, sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah. 


Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Siti Salwa Jaafar. 

Ada rekod jenayah 

Lelaki terbabit, masing-masing ditahan di Georgetown, Bukit Mertajam dan di sini, Rabu lalu dan kelmarin, hasil risikan dan keterangan saksi. 

Seorang daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes bahan letupan. 

Mereka disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 
Dalam kejadian pada jam 10.15 malam Selasa lalu, seorang petugas keselamatan BN menerima tujuh jahitan di betis kanan selepas terkena serpihan objek dalam kejadian letupan di belakang pentas ketika ceramah perdana sedang berlangsung. 

Kejadian itu berlaku ketika Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 2,000 orang. 

Siasatan polis mendapati letupan berpunca daripada bom buatan sendiri jenis alat letupan rekaan (IED) dan ia dilakukan oleh pihak yang mahir mengendalikan bahan letupan. 

Berita Harian/-

Tiada ulasan: