10 Mei 2013

Bantuan hanya untuk rumah

29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Bantuan hanya untuk rumah
Ahamad menunjukkan gambar kedainya yang rosak ketika ribut melanda pada tahun 2008.
PONTIAN - Seorang peniaga kedai makan dekat sini terkilan kerana jawapan untuk bantuan baik pulih premis perniagaannya akibat kejadian ribut lima tahun lalu, masih gagal diberikan.

Ahamad Othman Abu Talib, 43, berkata, biarpun bencana alam itu telah lama berlaku, dia tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan jawapan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Pontian, Penghulu dan ketua kampung.

“Hampir keseluruhan bangunan kedai saya rosak terutama di bahagian bumbung dalam kejadian ribut pada 2008 yang turut melibatkan kira-kira 10 buah rumah penduduk kampung di sini.

“Selepas ribut melanda, saya masih ingat, ada pegawai yang datang menilai kerosakan bangunan bagi tujuan mendapatkan bantuan,” katanya.

Jelasnya, dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membaiki bumbung kedai yang rosak itu, meskipun dirinya layak untuk mendapatkan bantuan bencana alam.

“Hampir RM10,000 saya belanja untuk baiki bumbung yang rosak selepas ribut itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru dia berharap agar jawapan segera dapat diberikan mengenai status bantuan tersebut yang masih belum diketahuinya.

“Saya tidak mahu terus berharap, tolong beritahu jawapan segera sama ada, ada bantuan ataupun tidak.

“Saya tidak mahu terus menerus naik turun pejabat bertanya mengenai status bantuan itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Pontian, Juhainun Mohd Shukri ketika dihubungi memberitahu bantuan selepas bencana seperti ribut hanya disediakan untuk rumah sahaja.

Jelasnya, pihak pengadu telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut, sebelum ini.

“JKM akan memaklumkan sekali lagi perkara ini kepada pihak pengadu dalam masa terdekat,” katanya.

sinar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nampak sangatlah rakyat didahulukan hanya mainan politik UBN ni, tak serik-serik nak kaut duit rakyat. Dasar penipu sampai mati....