10 Mei 2013

Mapim bimbang fitnah, perkauman jadi budaya

29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
 


MAPIM mengecam bibit-bibit budaya fitnah kini semakin jadi pohon budaya yang matang dan mengakar kuat di bumi Malaysia.

Melihat pelbagai lontaran fitnah terutama dalam politik sebelum, ketika dan sesudah PRU 13, kami khuatir budaya fitnah akan kekal menjadi ciri dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Sehingga kini nampaknya fitnah menjadi makanan seharian masyarakat Malaysia apabila media massa turut bersekongkol menyuburkannya sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum.

Kami mengecam semua pihak yang terlibat menyebar fitnah yang tidak menghiraukan akibat yang akan diterima bukan sahaja kepada individu yang difitnah, malah keluarga, organisasi serta seluruh masyarakat akan turut menerima akibat dari bahana fitnah yang berleluasa.

Pihak media massa elektronik , cetakan risalah dan akbar dan pengamal teknologi internet yang pelbagai , nampaknya tidak merasa berdosa menjadi penyebar fitnah , malah turut mencari peluang untuk menambah sensasi fitnah yang disebarkan.

Melihat sahaja kepada begitu banyak kes saman fitnah yang dibawa ke mahkamah sudah cukup mengambarkan betapa budaya fitnah dalam politik di Malaysia adalah satu ciri kekal. Serangan  peribadi nampaknya menjadi strategi kempen politik paling berpengaruh dikalangan pengundi Melayu.

Fitnah politik melalui serangan peribadi dan tipu muslihat dalam pilihanraya menyuburkan budaya fitnah sehingga kini berlanjutan dan telah menimbulkan ketegangan sesama anggota masyarakat yang saling menuduh antara individu , dalam dan antara parti politik.

Lebih merbahaya lagi bila fitnah menyebar  dalam perhubungan antara kaum. Ia melibatkan pemimpin kaum saling menuduh yang berbaur perkauman yang bakal mencetus ketegangan yang tidak akan terkawal.

MAPIM menegaskan bahawa generasi masa depan akan menghadapi risiko hidup dalam keadaan tidak aman akibat nafsu ahli politik masa kini yang tidak menghiraukan akibat yang bakal ditanggung sehingga bergenerasi.

Kami kesal budaya fitnah seks juga tidak lagi dilihat jijik malah dijaja diseluruh masyarakat kampung dikalangan orang Melayu untuk meraih undi sehingga masyarakat kini hidup dengan bahan fitnah , pagi , petang dan malam.

Lebih kesal lagi ialah permusuhan politik antara kepimpimpinan negara maseh tergamak mengungkit tuduhan seks ke atas lawan walapun telah diputuskan di mahkamah.

MAPIM mengingatkan jika ahli agama juga turut tidak bertegas membentaras fitnah , tidak akan ada lagi benteng mempertahankan maruah masyarakat Malaysia. Kami kesal ada juga ahli agama turut terlibat mengiakan fitnah walhal jelas ia dilarang oleh agama. Natijah yang lebih parah ialah bila kelahiran ciri fasiq dan individu munafiq berleluasa dalam masyarakat dikalangan umat Islam sendiri yang akan mengundang bala dan azab Allah S.W.T.

Pihak agensi awam yang bertanggungjawab mengawal agar unsur hasutan yang ujud dalam fitnah yang tersebar samada ada dalam media cetak atau elektronik  juga tidak bersungguh bertindak apabila ia melibatkan pihak yang yang pro pemerintah.

Kami menegaskan budaya fitnah politik  bertujuan mengekalkan kuasa atau merebut jawatan bakal menghancurkan bukan sahaja perhubungan antara masyarakat malah akan membinasa seluruh negara .

harakahdaily/-

Tiada ulasan: