10 Mei 2013

Pas persoal kertas undi awal

Pas persoal kertas undi awal29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Khairul Faizi (kiri) bersama Syukri menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kluang, semalam.
 
KLUANG - Pas Kluang mempersoalkan empat kertas undi awal tertera nama calon Pas Dun Nusajaya yang ditemui sewaktu pengiraan undi awal yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Ahad lalu, di Dun Mahkota.

Ejen mengira undi bagi kerusi Pas Dun Mahkota, Syukri Ahmad berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang sewaktu dia diamanahkan untuk mengira bagi pihak Pas.

Menurutnya, ketika itu dia yang diarahkan untuk mengira undi bagi saluran empat Undi Awal Kem Mahkota, berasa pelik kerana terdapat empat kertas undi yang tertera nama Salahuddin Ayub sebagai calon Pas sedangkan calon Pas di Dun Mahkota yang bertanding adalah Khairul Faizi Ahmad Kamil.

“Saya juga mendapati, kertas undi tersebut adalah kertas undi bagi kerusi Dun Nusajaya.

"Saya sangat musykil bagaimana undi awal tersebut boleh berada di dalam tong undi Dun Mahkota kerana kertas undi awal pada 30 April lalu, telah disimpan rapi di bawah jagaan pihak keselamatan di Balai Polis Kluang.

“Selepas itu, saya telah meminta agar perkara ini dibawa kepada pengetahuan Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pengiraan undi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di IPD Kluang, di sini, semalam.

Syukri berkata, selepas selesai pengiraan undi itu, dia telah bertemu dengan calon Pas Dun Mahkota dan memaklumkan tentang perkara berkenaan.

Jelasnya, calon berkenaan  menyatakan, tindakan susulan perlu dilakukan dan setelah berbincang maka dia terus mengambil tindakan untuk membuat laporan polis agar kes tersebut dapat disiasat dengan segera.

Sementara itu, Khairul Faizi berkata, sebelum membuat laporan polis, pihaknya telah berbincang dengan peguam sama ada wajar atau tidak tindakan tersebut diambil.

Menurutnya, apabila peguam mereka mengatakan bahawa laporan polis boleh dibuat, beliau telah menyuruh Syukri untuk membuat laporan.

“Kami mahu keadilan dan biarlah proses pengundian dapat dijalankan dengan bersih tanpa ada sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: