07 Mei 2013

BN ditolak melalui ‘Tsunami internet dan anak muda’

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BANDAR JENGKA: PAS hari ini menyeru agar rakyat terus berusaha untuk membina gelombang yang lebih besar untuk menumbangkan Umno-BN pada PRU-14 nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, ini kerana rakyat secara umumnya telah menolak BN mengikut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

Mengikut data yang dikeluarkan SPR, daripada 11,257,147 pengundi berdaftar, sejumlah 5,623,984 (49.96%) pengundi memilih Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan berbanding 5,237,699 undi (46.53%) yang diperolehi BN.

Di peringkat DUN yang mempunyai keseluruhan 505 kerusi yang dipertandingkan, PR menerima undi yang lebih tinggi berbanding BN, iaitu 4,879,699 undi  berbanding 4,513,997 undi kepada BN.

“Gelombang menolak BN melalui 'Tsunami Internet dan Anak Muda' ini akan berterusan. Dalam lima tahun akan datang, lebih ramai rakyat, dan terutamanya anak muda akan menjadi celik politik kerana terdedah dengan maklumat yang ada di internet,” tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan agar PR perlu mengambil masa ini untuk melatih polling agent – supaya mereka lebih cekap untuk menangkap dan menghidu helah yang dimainkan pihak-pihak tertentu di hari mengundi.

“Gerakan mendesak agar sistem pilihanraya dirombak dan dibersihkan perlu terus digerakkan. Satu referendum rakyat perlu diadakan terhadap kepimpinan SPR hari ini, samada mereka patut diberikan mandat menerajui SPR,” Tuan Ibrahim menambah.

PAS, kata Tuan Ibrahim, juga memberi jaminan akan terus berusaha menjadi pelindung kepada semua lapisan rakyat daripada sebaran cubaan untuk mencetuskan konfrontasi kaum.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalahkan keputusan BN yang semakin merosot sebagai fenomena ‘Tsunami Cina.’

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali berkata hanya pihak yang tidak bertanggungjawab sahaja yang ingin melihat fenomena menolak BN ini dari sudut perkauman.

“Apa yang berlaku di PRU13 ialah penolakan secara umum daripada semua golongan terhadap BN. Disebabkan itu, BN tewas undi popular buat kali pertamanya dalam sejarah,” tegasnya.


Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Ibrahim.


KENYATAAN MEDIA

Secara umum, BN telah ditolak oleh rakyat.

Mengikut data yang dikeluarkan SPR, daripada 11,257,147 pengundi berdaftar, sejumlah 5,623,984 (49.96%) pengundi memilih PR di peringkat persekutuan berbanding 5,237,699 undi (46.53%) yang diperolehi BN.

Di peringkat DUN yang mempunyai keseluruhan 505 kerusi yang dipertandingkan, PR menerima undi yang lebih tinggi berbanding BN, iaitu 4,879,699 undi  berbanding 4,513,997 undi kepada BN.

Gelombang menolak BN melalui “Tsunami Internet dan Anak Muda” ini akan berterusan. Dalam lima tahun akan datang, lebih ramai rakyat, dan terutamanya anak muda akan menjadi celik politik kerana terdedah dengan maklumat yang ada di internet.

Di samping itu, Pakatan Rakyat perlu mengambil masa ini untuk melatih polling agent – supaya mereka lebih cekap untuk menangkap dan menghidu helah yang dimainkan pihak-pihak tertentu di hari mengundi.

Gerakan mendesak agar sistem pilihanraya dirombak dan dibersihkan perlu terus digerakkan. Satu referendum rakyat perlu diadakan terhadap kepimpinan SPR hari ini, samada mereka patut diberikan mandat menerajui SPR.

Rakyat, teruskan usaha untuk membina gelombang lebih besar menumbangkan Umno-BN pada PRU14 nanti.

Di samping itu, PAS juga memberi jaminan akan terus berusaha menjadi pelindung kepada semua lapisan rakyat daripada sebaran cubaan untuk mencetuskan konfrontasi kaum.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
7 Mei 2013

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

belum masuk jumlah undi yg kena buang dari heli, peti hilang dan bawak lari