07 Mei 2013

Lim Guan Eng angkat sumpah sebagai Ketua Menteri

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


GEORGETOWN: Pagi ini, Lim Guan Eng yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Balik Pulau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di kediaman rasmi Tuan Yang Terutama (TYT), Datuk Seri Utama Tun Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Jalan Utama, Pulau Pinang.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang kali ke dua berturut-turut beliau bertekad akan melaksanakan lebih banyak program kebajikan pada rakyat.  Program yang sedia ada akan digerakkan dengan lebih aktif lagi ekoran sambutan dan sokongan yang begitu padu.

Keadaan ini katanya, akan menyedarkan masyarakat terutamanya di luar bandar betapa prihatin Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Apa yang Kerajaan Pakatan Rakyat sudah lakukan penggal lalu akan diteruskan seperti biasa.  Ini semua untuk kepentingan rakyat, " jelasnya.

Menyentuh mengenai tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa berlakunya tsunami kaum Cina pada Pilihanraya Umum ke 13 beliau berkata, sebenarnya bukan tsunami kaum cina sebaliknya semua kaum terutamanya pengundi muda.

Ujar beliau, jika berlaku tsunami kaum Cina kenapa di kawasan Melayu bandar Pakatan Rakyat boleh menang cuma Pakatan Rakyat kehilangan sokongan Melayu di kawasan luar bandar.

Tiada ulasan: