16 Mei 2013

'Cepatlah sembuh anakku'

6 Rejab 1434 H. [MOD] -

Muhammad Asyraf

Muhammad Asyraf terpaksa diberi minum melalui tiub.
Muhammad Asyraf

Keadaan Muhammad Asyraf ketika baru dilahirkan.
BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA - Tiada apa diharapkan daripada seorang ibu, selain ingin melihat anak bongsu berusia empat bulan  yang menghidap penyakit kekurangan gula dalam darah (Hipoglisemia) sembuh dan sihat seperti bayi normal lain.  

Bayi malang itu memerlukan lebih RM250,000 untuk rawatannya memandangkan penyakit yang dihidapi Muhammad Asyraf Zaili hanya boleh dirawat di hospital luar negara.

Ibunya, Rasidah Ardani, 41, berkata, dia dan suami, Zaili Dollah, 47, memang mahu membawa anak mereka jalani rawatan secepat mungkin, namun dengan pendapatan Zaili RM1,000 sebulan, sekadar cukup untuk menampung kos perubatan bulanan Muhammad Asyraf.

Menurutnya, dalam sebulan, mereka terpaksa menghabiskan lebih RM600 untuk beli susu dan ubatan, selain perlu beli alat memeriksa kadar gula dalam darah, di mana setiap 50 jarum yang diguna menelan belanja RM100.

“Asyraf perlu disuntik tiga kali sehari untuk dua hari dalam seminggu. Kami perlu membelanjakan RM1,000 untuk lima suntikan, namun kami bersyukur kerana ubat suntikan ditanggung pihak hospital,” katanya.


Perlu penjagaan rapi

Muhammad Asyraf menghidap penyakit berkenaan sejak lahir menyebabkan dia memerlukan penjagaan dan rawatan rapi.

Rasidah berkata, suntikan dan ubatan yang diberikan perlu mengikut masa ditetapkan.  

Sebagi contoh katanya, ubat diberikan setiap lapan jam, manakala suntikan akan diberikan pada jam 6 pagi, 2 petang dan 10 malam.

"Saya ibaratkan jaga anak saya ini seperti bom jangka, setiap masa perlu pengawasan dan setiap masa kena perhatikan kadar kandungan gulanya.

"Mula-mula dahulu menggeletar juga tangan ini untuk memberikan suntikan. Sekarang lihat sahaja ubat masuk ke dalam jarum suntikan, dia mula menangis, tapi kadang-kadang tidak juga, seperti sudah lali dengan suntikan itu," katanya.

Menurutnya, penyakit anaknya sudah berada di tahap kritikal dan meskipun jagaan rapi diberikan, Muhammad Asyraf kadang kala tetap diserang penyakitnya itu.

Katanya, apabila penyakitnya datang, dia akan menangis, mukanya menjadi pucat dan kepalanya berpeluh, selain akan muntah sehingga mengeluarkan semua susu yang diminum.

“Jika perkara ini berlaku, saya dan suami akan memberikan glukosa dan madu lebah, selain memberinya minum susu bagi meningkatkan kembali kadar gulanya sebelum tiba masa untuk disuntik,” katanya.

Rasidah berkata, penggunaan ubat yang lebih kerap berbanding sebelum ini menyebabkan hormon anaknya meningkat dan bulu di badannya menjadi lebat, selain menjadi obes.

“Saya tidak tahu apa akan jadi dengan anak saya ini jika dia tidak dirawat dengan segera. Saya bimbang bila besar nanti dia akan dipinggirkan dan diejek rakan-rakan kerana fizikalnya.

"Jika rawatan tidak dilakukan segera, kemungkinan anak saya juga akan mengalami masalah kegagalan otak yang boleh menyebabkan perkembangannya lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain," katanya.
 

Penyakit jarang ditemui

Suaminya, Zaili berkata, penyakit yang dihidapi anaknya disahkan doktor sebagai sejenis penyakit yang jarang ditemui.

“Saya dimaklumkan di Malaysia, hanya bayi yang dilahirkan dengan penyakit sedemikian dan anak saya ini merupakan antara tiga pesakit yang kronik. Seorang kanak-kanak Cina di Puchong telah sembuh setelah mendapat rawatan di luar negara. Sebaik mendapat tahu tentang anak saya, bapa kanak-kanak itu terus menghubungi saya untuk memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Selain sering berinteraksi dengan keluarga pesakit lain, Zaili juga kerap berinteraksi dengan doktor pakar dari luar negara yang boleh merawat anaknya itu.

Menurutnya, dia sebolehnya mahu membawa Muhammad Asyraf mendapatkan rawatan Jun ini, namun bergantung kepada jumlah bantuan yang diterima kerana untuk menampung kos itu sendiri, keluarganya tidak mampu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Chenor, Khairul Amin Othman berkata, pihaknya akan berusaha mencari dan memohon bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan bagi membantu bayi berkenaan.

“Kita akan hantar surat kepada menteri besar, selain meminta agensi-agensi kerajaan berkaitan memberikan kerjasama untuk membantu bayi ini dan meminta sumbangan daripada tabung penyakit kritikal.

 “Kita juga berharap sumbangan orang ramai. Marilah kita sama-sama bantu bayi malang ini agar dia sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke dalam akaun Maybank, Rasidah Ardani bernombor 156141307260 atau menghubungi mereka di talian 0199321566 atau 0199882647.

Sinar/-

Tiada ulasan: