16 Mei 2013

PAS Negeri Sembilan akan fail petisyen PRU13

6 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS akan memfailkan petisyen pilihanraya untuk beberapa kerusi Dun di Negeri Sembilan dalam masa yang terdekat ini.
Sehubungan itu, Timbalan Pesuruhjayanya, Dr Rosli Yaakop (gambar) menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS di negeri itu supaya terus berjuang dengan semangat yang lebih kental dan persediaan yang lebih rapi untuk mencapai kemenangan dalam PRU14.

Mengenai keputusan PRU13, katanya walau pun Pakatan Rakyat (PR) gagal menawan Negeri Sembilan tetapi penelitian menunjukkan bahawa keputusan bagi kerusi-kerusi Dun cukup memberangsangkan.

Beliau berkata, berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Keduabelas (2008), jumlah undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat bertambah sebanyak 1% daripada 47% kepada 48% dalam PRU13.

“Jumlah undi popular yang diperolehi PR mencatat kenaikan di kesemua kerusi yang ditandingi berbanding PRU12,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Namun demikian, ujarnya PR telah kehilangan satu kerusi berbanding keputusan PRU12.

Beliau menambah, diperhatikan bahawa 5 kerusi Dun yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) adalah dengan majoriti tipis dan jumlah keseluruhan majoriti bagi kerusi-kerusi berkenaan hanyalah 3,139 undi.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Ampangan (89 undi - PKR), Labu (1,511 undi - PAS), Johol (1,344 undi - PAS), Kelawang (282 undi - PAS) dan Pilah (113 undi - PKR).

Ini, jelasnya bermakna PR sudah terlalu hampir untuk mengambilalih kerajaan Negeri Sembilan dari BN dalam PRU13 yang lalu.

“Ketiga, diperhatikan bahawa di sesetengah Dun, kenaikan undi yang diperolehi calon BN bertambah secara mendadak, melebihi 50 peratus,” ujarnya lagi.

Misalnya, kata beliau di Dun Paroi di mana calon menunggu daripada PAS, Mohd. Taufek Abd, Ghani bertanding,  undi yang diperolehi calon BN bertambah daripada 8,316 dalam PRU12 kepada 14,896 dalam PRU13, iaitu kenaikan sebanyak 6,580 atau 79% sekali gus menimbulkan kecurigaan orang ramai mengenai kesahihan keputusan itu.

Begitu juga, katanya Dun Palong (+60%) dan Dun Bagan Pinang (+59%) dan beberapa lagi Dun.

harakah/-

Tiada ulasan: