16 Mei 2013

Guru pencetus daya saing pelajar

6 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan penghargaan serta tahniah kepada seluruh warga pendidik sempena Hari Guru 2013 pada hari ini. Sambutan ini merupakan satu simbolik pengiktirafan masyarakat terhadap sumbangan guru dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss(gambar) berkata, melalui sambutan seperti ini masyarakat diharapkan akan menghargai segala sumbangan guru-guru dan pada masa yang sama guru-guru pula akan meningkatkan komitmen dan kesungguhan mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi warga yang cemerlang dan juga berilmu.

"Sempena Hari Guru ini, kami menyeru seluruh warga pendidik supaya mempertingkatkan lagi kesungguhan mereka dalam mendidik rakyat negara ini bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga mendidik rakyat supaya memahami antara realiti bermasyarakat yang sebenar," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada hari ini, katanya guru-guru semacam didoktrinkan supaya hanya berfungsi di sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan para pelajar dalam pelajaran mereka sahaja, tetapi guru-guru dikekang daripada membina kematangan kognitif masyarakat supaya lebih sensitif terhadap persekitaran setempat dalam etika kemasyarakatan.

Menruutnya, dengan suasana masyarakat sekarang yang diperlihatkan runtuhnya gejala sosial yang begitu tinggi serta kebimbangan yang ketara terhadap penagihan dadah, guru-guru juga amat diseru supaya melibatkan diri membantu penyakit besar masyarakat dalam negara sekarang yang tidak dapat dibendung lagi.

"Kami yakin ruang yang sedia ada di sekolah di antara guru dan juga pelajar amat terlalu dekat untuk membicarakan perkara ini yang mesti digariskan oleh semua pihak yang terlibat," katanya lagi.

Ini, tambah beliau adalah kerana sebagai pendidik dalam institusi seperti sekolah sebagai landasan yang mencerminkan kedudukan dan juga gambaran sebenar generasi akan datang secara mana yang akan dibina.

"Kami yakin akan kemampuan semua warga pendidik ini kerana didikan ini akan memperlihatkan maruah negara dan kedaulatan kita semua akan ditingkatkan.

"Tugas besar ini akan dibukukan untuk digagas atau disandang bagi mereka yang akan menerima tanggungjawab itu kelak. Akan tetapi kekeliruan yang sedia ada bagi individu tertentu didalam bidang pendidikan ini kadang kala menggambarkan kepada semua warga pendidik," ujarnya.

Beliau menambah, contoh yang terbaik daripada semua aspek harus ditonjolkan oleh pendidik ini kerana setiap gerak geri akan dilihat sebagai gambaran sebenar perlakuan masyarakat itu sendiri.

"Kami mengiringi tugas penting ini dengan doa, moga warga pendidik mendapat keberkatan yang seluas-luasnya serta kesenangan di dalam tugas mendidik ini," katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau janganlah identiti pendidik itu hilang atas pertimbangan yang tidak mencerminkan tanggungjawab sebenar yang masyarakat harapkan selama ini kerana masyarakat juga menanti perubahan untuk anak-anak mereka di dalam kejayaan yang cemerlang dan juga berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Kecemerlangan warga pendidik akan kita kongsi bersama sepanjang masa supaya ianya disusun mengikut tuntutan tugasan ini sendiri. Warga pendidikan yang diperlihatkan begitu berat dan agak susah bidang kerjaya ini tidak akan berputus asa atau semangat. Kejayaan warga pendidik adalah kerjayaan untuk semua," ujar beliau.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: