06 Mei 2013

PRU 13: Bersih bentuk tribunal, tuntut SPR letak jawatan

25 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 mempersoalkan keabsahan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berikutan pelbagai pelanggaran sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Pengerusinya, Datuk S. Ambiga, berkata pelanggaran itu bukan sahaja berlaku sebelum tempoh pembubaran parlimen, tetapi turut berlaku ketika hari pengundian.

Bercakap pada satu sidang media hari ini, Ambiga berkata pihaknya menerima pelbagai laporan pelanggaran yang dilakukan sepanjang PRU13 ini.

Sehubungan itu, menurut Ambiga, badan pro demokrasi itu akan membentuk satu tribunal awam untuk memperhalusi segala bukti-bukti pelanggaran yang diterima pihakny.

"Kami mengalu-alukan rakyat yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran sepanjang PRU ini untuk membuat laporan polis, seterusnya berkongsi dengan kami mengenainya," tegas beliau.

Tribunal itu, katanya akan ditubuhkan dalam minggu ini, dan akan melengkapkan laporan berkaitan dakwaan pelanggaran tersebut dalam tempoh sebulan.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 turut mengajak rakyat Malaysia untuk memboikot akhbar utama negara, yang disifatkannya tidak memberikan ruang yang sama rata sepanjang kempen pilihan raya.

Tegas Ambiga, akhbar-akhbar tersebut ialah The New Straits Times, Utusan Malaysia, The Star dan Berita Harian perlu diboikot dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Mengulangi pendirian Bersih 2.0 yang menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, badan itu mendesak anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletakkan jawatan secara serta-merta.

"Memandangkan SPR masih gagal memastikan proses pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil, maka kita mendesak agar semua yang berada di SPR untuk meletakkan jawatan serta-merta.

"Satu jawatankuasa baru yang memenuhi aspirasi rakyat perlu ditubuhkan bagi menggantikan SPR," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Bersih 2.0 menuntut lapan perkara daripada SPR bagi menjamin ketelusan dan keadilan sepanjang proses pilihan raya berjalan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: