18 Rejab 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU: Kalau sebelum ini kekuatan hanya terletak pada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun sekarang dipikul secara tanggungjawab bersama (collective responsibility).
“Memang diakui tidak ada pemimpin yang sehebatnya Tok Guru dengan apa yang dimilikinya. Bagaimanapun sekarang kita guna kaedah 'collective responsibility'.
“Kita tidak ada kehebatan di atas seorang individu tetapi kita ada atas dasar qiadah jamaiyah (pimpinan secara jemaah),” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Beliau berkata, apa yang penting dasar tidak berubah biar pun pemimpinnya bertukar ganti, di mana Kelantan tetap mempertahankan Islam sebagai dasar.
“Kita gabung individu secara berkumpulan dan bukan lagi secara keseorangan. Kita bekerja secara pasukan itu yang lebih penting.
“Parti kena duduk sekali dengan pengganti yang Tok Guru pilih iaitu Ustaz Dato’ Ahmad Yakob,” katanya di sini.
Menurutnya dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad saw apabila sampai masanya diganti para sahabat bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan Islam.
Pada peringkat awal memang berlaku sedikit pergolakan sehingga muncul kumpulan riddah yang enggan membayar zakat.
“Namun akhirnya diredakan Saiyidina Abu Bakar selepas menjadi khalifah menggantikan Rasulullah saw,” ujarnya.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah tersenarai sebagai salah seorang daripada 500 pemimpin dunia Islam yang terhebat. Carta itu dikeluarkan Royal Islamic Strategic Centre yang berpangkalan di Amman, Jordan.
Kini selepas 23 tahun menerajui Kelantan, selepas PAS dan Pakatan Rakyat mengekalkan kerajaan negeri bagi penggal ke enam 5 Mei lalu, beliau berundur dan digantikan Ustaz Ahmad.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan