31 Mei 2013

Mengapa pemimpin BN tidak mahu isytihar harta?

21 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan tahniah di atas perlantikan saf baru kepimpinan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang telah menyempurnakan ikrar dan sumpah setia perkhidmatan di hadapan Sultan Selangor semalam.


“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan semoga kepimpinan Exco Negeri Selangor yang baru dilantik bersama-sama dengan kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku MB Selangor akan dapat meneruskan kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Selangor sebelum ini,” ujar Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar).

Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan penghargaan di atas komitmen yang telah dinyatakan MB Selangor untuk memastikan ketelusan pentadbiran beliau dengan meneruskan pengisytiharan harta termasuk penambahan harta semua Exco yang baru dilantik dan Exco sedia ada sebelum sidang Dun diadakan.

“Langkah ini adalah penerusan daripada tindakan yang pernah dilakukan semasa sesi awal pentadbiran PR memerintah Selangor selepas pilihanraya tahun 2008,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kata beliau, pihaknya melihat tindakan tersebut telah memberikan satu keyakinan kepada rakyat Selangor bahawa pemimpin PR yang diberikan amanah untuk mentadbir sememangnya terdiri daripada mereka yang mempunyai kredibiliti dan integriti.

Ini, ujarnya bagi memastikan hasil kekayaan negeri tidak menjadi harta pemilikan individu melainkan dikembalikan semula kepada rakyat secara selayaknya.

Beliau berkata, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan tindakan yang cukup bertanggungjawab ini sepatutnya dicontohi oleh Perdana Menteri dan kabinetnya serta seluruh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang baru dilantik sebagai komitmen dan tanggungjawab melaksanakan amanah yang dipikulkan oleh rakyat ke atas bahu mereka dipenuhi secara jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Menurutnya lagi, mereka juga perlu pastikan segala kekayaan hasil mahsul negara dan negeri-negeri dapat dinikmati oleh rakyat secara sepatutnya.

Kata beliau lagi, pihaknya pernah mencabar kerajaan BN sebelum ini untuk melaksanakan tindakan pengisytiharan harta selepas memenangi PRU12 lalu tetapi seperti dijangka mereka sentiasa beralasan untuk tidak mengisytiharkan harta-harta mereka.

Ini, katanya kerana mereka takut dipertikaikan oleh rakayat bagaimana harta boleh berkembang biak berbanding dengan elaun yang sepatutnya diterima oleh mereka.

“Dan juga dalam masa yang sama rakyat sering merintih di atas kesusahan dan keperitan yang ditanggung mereka kerana dasar-dasar yang ditetapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang korup ini,” ujarnya.

harakah/-

Tiada ulasan: