26 Jun 2013

13 soalan ahli parlimen PAS disenarai hari ini


17 Syaaban 1434 H. [MOD] 


KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 soalan lisan dikemukakan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat pada hari ini, 13 daripadanya adalah soalan wakil PAS.


Berikut ialah soalan mereka yang disenaraikan untuk dijawab lisan pada persidangan yang bermula jam 10.00 pagi tadi. 



Puan Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan tentang kos yang ditanggung oleh Kerajaan setakat ini dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu. Berapakah orang yang terkorban dan kerugian harta benda yang terlibat. 



Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan cabaran utama bagi mencapai sasaran Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) pada tahun 2012. 



Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan mengapa kandungan Silver Nitrate dalam dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan raya Umum ke 13 di bawah paras 1% sedangkan piawaian asal yang ditetapkan ialah 4%. 



Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah pendekatan pihak Kementerian dalam menyediakan keselesaan kepada penjawat awam yang terpaksa mengambil cuti untuk menjaga ahli keluarga yang sakit. Adakah pihak Kementerian bercadang untuk mempertimbangkan skim cuti khas bagi tujuan tersebut. 



Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menyatakan apakah pihak Kementerian tidak berhasrat untuk menurunkan harga minyak RON95 dan diesel. 



Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapakah bilangan siswazah yang menganggur. Nyatakan bilangan penganggur mengikut bidang pengajian. 



Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini pembinaan Hospital Parit Buntar. 



Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah kerakyatan baru yang diberikan dalam tempoh 3 tahun lepas berbanding dengan 3 tahun sebelumnya dan daripada mana negara asal mereka. 



Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Komunikasi Dan Multimedia menyatakan statistik yang telah direkodkan bagi kesalahan Seksyen 211 (Larangan Terhadap Pemberian Kandungan Jelik) dari tahun 2008 hingga 2012. 



Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Komunikasi Dan Multimedia menyatakan kos yang telah dibelanjakan untuk program netbook dan jumlah unit komputer berkenaan yang telah dikeluarkan sejak dimulakan sehingga Disember 2012. 



Dr. Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan berapa ramaikah pegawai agama yang telah dilantik di hospital-hospital utama Kerajaan mengikut negeri di antara tahun 2008 hingga tahun 2013. 



Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana kejayaan Kempen Tak Nak Merokok di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Nyatakan statistik terbaru 'Pesalah Merokok' mengikut negeri dan jantina seperti peringkat umur bagi tahun 2010 hingga kini. 



Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah [Kuala Terengganu] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan sejauh manakah pihak Kerajaan menggalakkan persembahan kebudayaan tradisi yang tertib berbanding dengan persembahan-persembahan hiburan barat yang tidak ada kaitan dengan tradisi dan budaya tempatan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: