26 Jun 2013

MAS Aktifkan Kembali Laluan KL-Dubai

17 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan mengaktifkan kembali perkhidmatan laluan Kuala Lumpur-Dubai ke dalam rangkaiannya, berkuat kuasa 3 Ogos, dengan penerbangan harian menggunakan pesawat 777-200.
Pesawat itu, dengan kapasiti 282 tempat duduk untuk setiap penerbangan, akan menawarkan bersamaan 3,948 tempat duduk setiap minggu.
Bermula 5 Ogos, penerbangan itu akan berlepas dari Kuala Lumpur setiap hari pada 11.30 pagi dan tiba di Dubai pada pukul 2.20 pagi hari berikutnya.
Penerbangan pulang ialah pada pukul 4.10 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 3.25 petang.
"Dubai ialah antara laluan yang digantung semasa langkah rasionalisasi laluan kami pada Januari tahun lepas. Kami begitu gembira untuk mengaktifkan semula laluan berkenaan selepas memantau secara berterusan permintaan pasaran," kata ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Group, Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan akhbar.
Bersempena dengan pengenalan semula itu, syarikat penerbangan itu menawarkan tambang promosi menarik yang bermula hanya dari RM1,999 untuk tiket pergi/balik kelas ekonomi inklusif dan serendah RM5,999 untuk kelas perniagaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: