19 Jun 2013

S'pura catat PSI jerebu tertinggi dalam 16 tahun

Bandar raya Singapura diselubungi jerebu akibat pencemaran daripada kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia. - AFP
10 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Undang-undang Singapura K Shanmugam kelmarin menghubungi Menteri Hal Ehwal Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa untuk menyuarakan kebimbangan Singapura berkaitan keadaan jerebu yang semakin buruk.


Menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Luar, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air republik berkenaan Dr Vivian Balakrishnan turut menghubungi Menteri Alam Sekitar Indonesia Prof Dr Balthasar Kambuaya untuk merakamkan kebimbangan mereka.


Kedua-dua menteri Singapura itu menegaskan bahawa Indeks Tahap Pencemaran Singapura (PSI) telah mengatasi paras 150 hari sebelumnya, dan kini memasuki zon tidak sihat.



Laporan pada Isnin menyebut bacaan PSI mencecah 155 pada 10 malam, iaitu catatan tertinggi Singapura bagi tempoh 16 tahun dan memberi penekanan kepada keadaan yang mendesak itu.



Pada masa sama, mereka menegaskan semula komitmen Singapura untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran di Sumatera.



Kenyataan itu menyebut Balakrishnan memohon agar Indonesia berkongsi maklumat yang berkaitan untuk meningkatkan pemantauan titik panas dan aktiviti pemugaran tanah.



Menurut kenyataan itu persetujuan mengenai perkara itu dicapai antara Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand pada Oktober 2012.

Shanmugam dan Balakrishnan merujuk kepada dakwaan seorang pegawai Kementerian Perhutanan Indonesia dalam media bahawa syarikat perladangan sawit Malaysia dan Singapura yang melabur di Indonesia mungkin bertanggungjawab dalam memulakan kebakaran di Riau.

- Bernama

Tiada ulasan: