19 Jun 2013

Kerajaan Selangor Buat Keputusan Ganti Kenderaan Rasmi

10 Syaaban 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor meneruskan amalan perbelanjaan berhemah apabila mengarahkan ahli Exco membeli semula kenderaan rasmi yang telah digunakan sejak lima tahun lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibahim berkata, kerajaan negeri bersetuju dengan keputusan itu dan turut mencadangkan supaya Toyota Camry itu ditawarkan kepada bekas Exco penggal lalu.
Abdul Khalid berkata, hasil jualan kenderaan terbabit akan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri sebelum pengisytiharan harta dibentangkan oleh setiap Exco dalam masa terdekat.
“Kita sudah maklumkan kepada Exco supaya membeli kenderaan terbabit,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di
sini hari ini.
Laporan sebelum ini menyebut Putrajaya juga turut mempertimbangkan untuk menukar kenderaaan rasmi Proton Perdana V6 Eksekutif yang digunakan kepada Honda Accord 2.6 liter.
Manakala kerajaan Pahang akan menggunakan Volkswagen Passat, selepas
Terengganu menukar kenderaan rasmi kepada Mercedes-Benz E200 Kompressor sejak tahun 2008, Perak (Toyota Camry)  dan Sabah (Volvo S80s).
Sementara itu, ditanya mengenai pelantikan Pegawai Perhubungan Politik, Abdul Khalid berkata pihaknya akan mengumumkan perincian skop tugas dan proses lantikan selewat-lewatnya sebelum perasmian Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini.
Pakatan Rakyat meletakkan tiga pemimpinnya, iaitu Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok dan Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad menjaga perhubungan hal ehwal politik di Pejabat Menteri Besar.. FMT/-

Tiada ulasan: