15 Ogos 2013

3 wartawan terbunuh dalam keganasan terbaru di Mesir


8 Syawal 1434 H. [MOD] -



KAHERAH: Tiga wartawan, termasuk seorang jurukamera untuk stesen penyiaran British, Sky News dan pemberita akhbar berpangkalan di Dubai, terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam keganasan terbaru di Mesir, semalam. 

Badan pemerhati media antarabangsa mendesak pihak berkuasa Mesir menyiasat serangan terhadap wartawan dan mahu pihak yang bertanggungjawab didakwa. 


Mereka turut mengutuk keganasan yang tercetus selepas polis yang dibantu kereta perisai tentera, helikopter dan jentolak dalam menggempur penunjuk perasaan yang menyokong bekas Presiden, Mohammed Morsi sehingga banyak nyawa terkorban. 


Sky News berkata, Mick Deane, 61, ditembak dan cedera ketika membuat liputan keganasan yang tercetus di kem penyokong Morsi di Kaherah. 

Dia dibawa ke hospital untuk dirawat sebelum meninggil dunia selepas itu. 

Akhbar Gulf News, yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) melaporkan, wartawannya, Habiba Ahmed Abd Elaziz, 26, ditembak di berdekatan Masjid Rabaah al-Adawiya di Kaherah ketika pihak keselamatan mengempur masuk ke kem penyokong Morsi. 

Akhbar itu melaporkan, Habiba ketika itu sedang dalam cuti tahunan dan bukannya membuat liputan untuk XPRESS. 
Wartawan Mesir, Ahmed Abdel Gawad, yang menulis untuk akhbar Al Akhbar, terbunuh ketika membuat liputan di Rabaah al-Adawiya. 

Wartawan untuk Kesatuan Sekerja Egyptian Press Syndicate itu disahkan maut walaupun tiada maklumat bagaimana beliau terbunuh. - AP 

Tiada ulasan: