Selepas pertelagahan yang panjang dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), DAP memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.



Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dicapai dalam mesyuarat CEC yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.



Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.


NONE

Sementara itu pengerusi DAP Karpal Singh dalam kenyataannya  berkata parti itu memutuskan demikian demi menyelamatkan parti itu daripada tindakan pembatalan pendaftaran oleh ROS.



Karpal berkata, mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada malam tadi memutuskan demikian demi kepentingan jangka panjang parti berkenaan.



Katanya, jawatankuasa DAP memutuskan demikian walau berpendapat bahawa arahan DAP untuk menjalankan pemilihan semula itu tidak mengikut undang-undang.


Karpal berkata parti itu "telah mengambil segala usaha untuk mendapatkan dari ROS alasan dan berdasarkan undang-undang mana arahan tersebut dibuat".


Katanya, Lim telah meminta untuk menemui Pendaftar bagi membincangkan kedudukan tersebut tetapi pihak berkenaan enggan memberi temujanji.



Memburukkan lagi keadaan, tegas Karpal, permintaan berulangkali parti itu kepada Pendaftar untuk dimaklumkan mengenai aduan yang dibuat terhadap parti itu, juga sia-sia.



Dalam keadaan tersebut, tambahnya, sepertimana yang diarahkan oleh ROS, CEC bagi tempoh 2008-2011 akan bertemu Khamis depan untuk membuat persediaan untuk mengadakan pemilihan baru.


DAP dan ROS telah bertelagah sejak ROS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan baru bagi memilih CEC.


ROS membuat keputusan ini selepas beberapa ahli yang tidak berpuas hati, membuat aduan kepadanya berhubung pemilihan CEC DAP di Pulau Pinang Disember lalu.



DAP mengeluarkan satu kenyataan awam bahawa berlaku masalah teknikal dalam keputusan pemilihan tersebut, yang menyebabkan berlakku salah pengumuman mengenai calon-calon yang berjaya.



Calon yang tersilap umum berada dalam CEC adalah Vincent Wu dan bukannya setiausaha politik Lim - Zairil Khir Johari - yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera.

Malaysiakini/-