15 Ogos 2013

Mesir: Rakyat Kelantan diseru ke munajat malam ini

8 Syawal 1434 H. [MOD] -
harakahdaily.net
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan malam ini diseru hadir pada program ‘Solat Hajat, Munajat dan Ceramah Perdana’ bagi memohon keamanan di Mesir yang kini sedang bergolak.

Program berkenaan anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dengan kerjasama Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM).

Majlis yang bermula solat Maghrib berjemaah itu akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke V malam ini.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,  Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa antara yang bakal berucap malam ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah  dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Pada masa yang sama Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan hari ini melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasknya tindakan tentera Mesir di bawah Presiden Interim Adly Mansour.

Ketua Penerangannya, Mohd Fadhli Shaari berkata, tindakan tentera itu yang menceroboh medan berhimpun kumpulan pro legitimasi di Kaherah khususnya di Medan Raba'ah dan di Madinah Nasr amat tidak berperikemanusaan.

Sehubungan itu Dewan Pemuda juga menggesa agar kepimpinan negara mengeluarkan kenyataan yang keras dan mengutuk serangan tentera Mesir ini yang jelas bertentangan dengan prinsip nilai-nilai kemanusiaan.

Bukan itu sahaja, menurutnya kerajaan Morsi yang digulingkan ditubuhkan melalui pilihanraya.

“Mesej perlu segera disampaikan melalui Kedutaan Mesir di Malaysia bagi membuktikan kebersamaan negara Islam di seluruh dunia dengan nasib yang sedang menimpa rakyat Mesir pada hari ini.

“Sewajarnya semua pihak perlu sedar bahawa tragedi yang sedang menimpa rakyat Mesir ialah tragedi kepada demokrasi,”ujar Fadhli lagi.

Pada masa yang sama beliau turut menyarakan  umat Islam di negara ini mengadakan qunut nazilah di dalam solat waktu serta solat hajat berterusan memohon pertolongan Allah supaya memberikan penyelesaian yang terbaik terhadap konflik di Mesir.

Jelas Fadhli lagi, mereka kini dikhabarkan mula digempur tentera semenjak pagi tadi selepas rancangan serangan ke atas mereka Sabtu lalu ditangguhkan sebelum ini.

“Sehingga ke saat ini, dilaporkan telah lebih 400 orang rakyat Mesir terkorban dan beribu-ribu lagi cedera,”ujarnya.

Katanya, kesempatan bulan Syawal  umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa enam, disaran berdoa untuk rakyat Mesir yang sedang berdepan dengan keganasan tentera negara mereka sendiri.

Tiada ulasan: