08 November 2013

Pengawal Keselamatan Filipina Guna IC Palsu Ditahan

4 Muharram 1435H. [MOD] -

BUTTERWORTH: Dia menggambarkan dirinya sebagai pengawal keselamatan yang mempunyai pangkat pegawai apabila bertugas di sebuah kondominium di Lebuh Sungai Pinang di sini.
Ketika pegawai penguatkuasa menemuinya ketika Ops Bersepadu awal pagi Khamis, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa dia berasal dari Sabah.

Namun siasatan mendapati dia menggunakan nombor Mykad palsu kerana ia berbeza daripada tag nama yang dipakainya yang tertera, nama 'Nuraini'.
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata siasatan latar belakang mendapati wanita berkenaan sebenarnya berasal dari Filipina.
"Tag nama yang diberikan oleh syarikat pengawal keselamatan kepada pengawal keselamatan itu adalah bagi menyakinkan penduduk bahawa dia adalah pengawal keselamatan yang sebenar," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Imigresen negeri pada Khamis.
Wanita berkenaan antara 20 pendatang asing tanpa izin yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata mereka yang ditahan berusia antara 25 dan 45 tahun membabitkan 12 warga Nepal, lima rakyat Pakistan dan tiga warga Filipina termasuk wanita terbabit.
Katanya siasatan mendapati mereka bekerja dengan beberapa syarikat kawalan keselamatan tempatan sejak enam bulan lepas.
Basri berkata semua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 39 (b) akta yang sama.
Pihaknya juga akan menjalankan siasatan terhadap syarikat keselamatan terbabit dan jika syarikat itu berdaftar boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 55(b) dan Seksyen 56(1)(b) Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi pekerja terbabit, katanya.
mStar/-

Tiada ulasan: