07 November 2013

Senat Thai tolak pengampunan

3 Muharram 1435H. [MOD] -

BANGKOK 6 Nov. - Dewan Senat Thailand dijangka menolak rang undang-undang pengampunan yang menimbulkan kontroversi selepas pengkritik mendakwa ia bertujuan untuk membawa pulang bekas Perdana Menteri yang hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra.

Penolakan usul tersebut, dijangka bakal meredakan ketegangan politik di negara ini, apabila beribu-ribu penyokong pembangkang dan anti-Thaksin mengadakan demonstrasi di Bangkok bagi membantah pelaksanaan undang-undang itu.

Rang undang-undang berkenaan akan dibahaskan di Dewan Senat pada Isnin ini dan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 76 daripada 150 senator untuk diluluskan.

Speaker Dewan Senat, Nikom Wairatpanij berkata, beliau menolak rang undang-undang terbabit dan akan menghantarnya semula ke Dewan Perwakilan.

"Saya tidak akan menerima undang-undang pengampunan dan majoriti di dalam Dewan Senat turut sependapat dengan saya," katanya.

Pengkritik berkata, undang-undang itu bertujuan membersihkan semula jenayah yang dilakukan oleh semua pemimpin ketika terlibat dalam konflik politik pada 2004, termasuk kesalahan rasuah yang dilakukan Thaksin selepas didapati bersalah pada 2008.

Rang undang-undang tersebut mendapat sokongan daripada kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra daripada Parti Puea Thai.

Bagaimanapun, beribu-ribu penunjuk perasaan daripada kumpulan pembangkang dan pelajar mengadakan bantahan di Bangkok sejak Jumaat lalu dan mengancam untuk meneruskan demonstrasi jika usul itu diluluskan. - AFP

Tiada ulasan: