05 Disember 2013

Banjir mula landa 5 jajahan di Kelantan

1 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Seramai 1,296 orang telah dipindahkan di Kelantan setakat tengah hari ini akibat banjir yang melanda negeri itu sejak semalam, menurut laporan portal rasmi e-banjir negeri Kelantan.


Antara lima jajahan yang teruk dilanda banjir adalah Kuala Krai yang meliputi kawasan Mengkebang dan Olak Jeram; Machang meliputi Ulu Sat, Labok dan Pulai condong; Pasir Mas meliputi Kangkong dan Gual Periok; Pasir Puteh meliputi Limbungan, Gong Datok dan Bukit Awang dan jajahan Tanah Merah melibatkan Bukit Panau dan Ulu Kusial.Kuala Krai mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi iaitu seramai 753 orang (177 keluarga) diikuti Machang  jumlah mangsa 242 orang (58 keluarga), Tanah Merah seramai 159 orang (44 keluarga), Pasir Puteh pula seramai  109 orang (29 keluarga) dan Pasir Mas seramai 33 orang (7 keluarga).

Sebanyak 23 tempat Pusat Pemindahan Banjir telah dibuka meliputi kelima-lima kawasan jajahan tersebut.

Sehingga kini tiada mangsa korban dan kemalangan yang dilaporkan di Kelantan.

20 Pusat Kawalan Operasi Banjir telah dibuka di semua jajahan termasuk Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bilik Gerakan Tentera Darat, Markas 8 Briged.

Dalam pada itu antara jalan yang tutup kepada semua kenderaan adalah di jajahan Gua Musang, Jalan masuk Aring 8 dan 9 serta jalan Chiku-Aring (KM 12.2).

Sementara itu bagi laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah di Kuala Krai, Jalan Bukit Sireh - Kampung Bedal - Kuala Nal (KM 2.5).

Bagi jajahan Pasir Puteh jalan yang ditutup adalah laluan Pasir Puteh - Semarak, Tanah Merah meliputi Jalan Tanah Merah - Kusial - Kampung Ipoh (KM 2 dan 4).

Manakala di Tumpat hanya laluan Jalan Pohon Tanjung - Pasir Pekan (KM 2.0)

Jabatan Meterologi Malaysia turut meramalkan hujan akan berterusan selama semingg di Kelantan selama seminggu mulai hari ini.


Harakahdaily

Tiada ulasan: