05 Disember 2013

Selangor salur RM50,000 bantu mangsa banjir di Pahang

1 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan di Pahang.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban ditanggung ribuan mangsa yang terbabit dalam kejadian banjir yang berlaku.“Bantuan yang kita berikan adalah barangan, makanan dan peralatan sewaktu berada di pusat pemindahan banjir serta beberapa keperluan lain seperti peralatan sembahyang,” katanya dipetik Selangor Kini.

Rodziah ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang berlaku di negeri lain seperti Johor dan Terengganu dalam masa terdekat.

“Kita juga mendapat tahu selepas banjir di Pahang yang bermula di Kuantan sudah menjangkau ke Rompin dan saya dapati keadaan lebih teruk di Johor serta Kemaman, Terengganu. Jadi di bawah misi bantuan Selangor, kerajaan negeri tidak menafikan bahawa kita akan membantu mereka,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyalurkan dana bantuan RM100,000 kepada mangsa bencana ribut taufan di Haiyan, Filipina serta RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

Pada masa sama, Rodziah berkata, bantuan daripada pelbagai pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri serta kilang di Selangor turut diharapkan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana berkenaan.

“Kita sudah menulis surat kepada pihak berkenaan dan setakat ini, maklum balas yang diberikan mereka positif untuk membantu mangsa banjir yang berlaku di Pahang,” katanya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: