05 Disember 2013

Jumlah mangsa banjir di Johor tinggal 2,027 orang, Pahang 29,270 dan Terengganu menurun kepada 7,163 orang

1 Safar 1435H. [MOD] -

MERSING: Keadaan banjir di Johor mulai pulih berikutan cuaca yang bertambah baik dan air yang mulai surut. 

Daripada 8,793 mangsa, hanya tinggal 2,027 orang daripada 496 keluarga yang masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan setakat jam 4 petang.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata Mersing yang teruk dilanda sebelum ini, hanya mempunyai 194 mangsa daripada 49 keluarga di sebuah pusat pemindahan. 


Jumlah mangsa di Segamat juga berkurangan daripada 1,052 orang kepada 476 orang dan di Kluang daripada 1,005 orang kepada 233 orang. 

Muar dan Ledang yang masing-masing mempunyai 217 dan tujuh mangsa sebelum ini telah ditutup pusat pemindahan mereka dengan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang. 


Sementara itu jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pahang menurun kepada 29,270 pada 5 petang ini berbanding 38,323 pagi tadi. 


Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 7,163 orang pada sebelah petang berbanding 7,780 orang pagi tadi. 
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), ini berikutan seramai 620 orang mangsa di Hulu Terengganu telah dibenar pulang ke rumah masing-masing. 

Ia berkata jumlah mangsa yang masih tinggal di daerah itu sehingga jam 4 petang ialah seramai 1,034
orang dari 302 keluarga. 


Dalam masa yang sama, sebanyak 14 daripada 27 pusat pemindahan di daerah itu ditutup. 

Bagaimanapun lain-lain kawasan seperti Kemaman, Dungun dan Marang, keadaan banjir tidak banyak berubah pada sebelah petang berbanding sebelah pagi. 

Di Kemaman, jumlah mangsa masih merupakan yang teramai dengan 3,480 orang daripada 916 keluarga, di Marang 54 orang (14 keluarga) dan Dungun seramai 2,130 orang (572 keluarga). 

Pusat pemindahan yang masih beroperasi di Kemaman ialah sebanyak 38, Marang (3) dan Dungun (27). 
Sementara itu enam orang daripada dua keluarga dipindahkan di Besut pada tengah hari tadi apabila daerah itu pula mula dilanda banjir dengan mangsa ditempatkan di Surau Kampung Kayu Kelat. 

Keadaan paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini pada sebelah petang masih ditahap bahaya. 
- BERNAMA

Tiada ulasan: