05 Disember 2013

Lebih 1,000 lagi dipindah di lima jajahan di Kelantan

1 Safar 1435H. [MOD] -

KOTA BHARU: Seramai 1,284 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di lima jajahan di sebelah petang berbanding tidak sampai 1,000 orang pagi tadi. 

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jajahan Kuala Krai merupakan jumlah terbesar mangsa yang berpindah iaitu 753 orang di enam pusat pemindahan di Mengkebang dan Olak Jeram. 


Di jajahan Machang, 242 orang dipindahkan di lima pusat pemindahan iaitu di Ulu Sat, Labok, Pulai Chondong dan Temangan sementara di Pasir Puteh, seramai 109 orang dipindahkan di tiga pusat iaitu di Limbongan, Gong Datok dan Bukit Awang. 

Di Tanah Merah, seramai 159 orang dipindahkan di tujuh pusat pemindahan di Bukit Panau dan Ulu Kusial sementara di Pasir Mas, hanya 21 orang yang dipindahkan di tiga pusat pemindahan di Kangkong dan Gual Periuk. 

Paras air sungai utama di Kelantan dilaporkan semakin surut berikutan tiada hujan lebat direkodkan hari ini. 

Namun Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Jambatan Guillemard serta di Sungai Golok, Rantau Panjang, bacaan paras airnya masih melepasi tahap bahaya, walaupun surut secara perlahan-lahan. 

Di Tualang bacaannya kini mencecah 30.06 meter melepasi paras bahaya 35 meter, di Tangga Krai, bacaannya 25.25 meter (bahaya 25 meter), di Jambatan Guillemard 17.12 meter (bahaya 16 meter) dan di Rantau Panjang 10.37 meter (bahaya 9 meter). 


Keadaan cuaca di Kelantan pada keseluruhannya mendung dengan sesekali hujan. - BERNAMA 

Tiada ulasan: