09 Disember 2013

Kes artikel fitnah Nizar, mahkamah tolak rayuan Utusan

5 Safar 1435H. [MOD] -

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Utusan Melayu (M) Berhad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan ia membayar gantirugi RM250,000 kepada bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung artikel berita memfitnah dalam isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1.
    
Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Utusan Melayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman sivil Mohammad Nizar terhadap syarikat akhbar itu.
    
Dalam keputusannya, Hakim Zaharah berkata Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Mohammad Nizar telah berjaya membuktikan dakwaannya terhadap Utusan Melayu.

"Kami mendapati Mahkamah Tinggi adalah betul apabila mendapati perkataan-perkataan yang mempersoalkan perkara itu adalah memfitnah responden (Mohammad Nizar)," kata Hakim Zaharah, yang bersidang bersama-sama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Lim Yee Lan.
    
Beliau berkata pembelaan Utusan Melayu bagi justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat tidak boleh diterima.
Dalam pembelaan bagi perlindungan bersyarat, Hakim Zaharah berkata wujud niat jahat di pihak Utusan Melayu kerana keterangan menunjukkan perkataan-perkataan itu adalah tidak betul dan wartawan bersikap cuai dalam laporannya.
   
Katanya jumlah gantirugi diberikan oleh Mahkamah Tinggi adalah berpatutan dengan mengambil kira kedudukan Mohammad Nizar dan keadaan kes itu.
   
Hakim Zaharah memerintahkan Utusan Melayu membayar RM20,000 sebagai kos perundangan kepada Mohammad Nizar.
   
Mohammad Nizar memfailkan saman sivil RM50 juta terhadap Utusan Melayu pada 10 Julai tahun lepas berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Utusan Malaysia mengenai komen dalam Twitter beliau (Mohammad Nizar) mengenai bidaan RM520,000 Sultan Johor bagi nombor pendaftaran WWW1.
   
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohammad Nizar berkata beliau memasukkan kenyataannya itu dalam akaun Twitternya pada 28 Mei, tahun lepas mengenai nombor pendaftaran kenderaan itu.
   
Beliau mendakwa Utusan Melayu menerbitkan artikel mengenai perkara itu dalam akhbarnya yang berupa memfitnahnya kerana artikel itu membayangkan yang beliau cuba menghasut orang ramai untuk membenci Sultan Johor.
 
Beliau mendakwa kenyataan itu juga bermaksud bahawa beliau mendakwa kononnya  Sultan Johor telah menyalahgunakan dana awam untuk membayar RM520,000 bagi nombor pendaftaran itu.
   
Pada 4 Julai tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Utusan Melayu bersalah memfitnah Mohammad Nizar dan memerintahkan syarikat itu membayar RM250,000 sebagai gantirugi am dan teladan kepadanya.
   
Utusan Melayu diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Jamaludin manakala Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni dan  Mohd Zamri Ibrahim.

- Bernama

Tiada ulasan: