09 Disember 2013

PM Thailand umum pembubaran parlimen

5 Safar 1435H. [MOD] -

BANGKOK:  Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat kira-kira sejam sebelum penunjuk perasaan antikerajaan berarak ke Rumah Kerajaan.                   
"Biar rakyat tentukan siapa yang patut mentadbir negara ini," katanya dalam pengumuman menerusi televisyen pagi ini yang memeranjatkan banyak pihak.                       
Beliau menggesa semua parti politik supaya mengambil bahagian dalam pilihan raya yang akan diadakan kelak.

Bagaimanapun, keputusan itu mungkin tidak begitu memuaskan hati pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Taughsuban, yang tidak mahu Yingluck mengetuai kerajaan sementara, sebaliknya mahu sebuah majlis rakyat untuk mentadbir negara dalam tempoh sementara itu.                   
Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan telahpun berkumpul di Sembilan lokasi di ibu negara pagi ini, memburukkan lagi keadaan lalu-lintas di beberapa kawasan.                  
Sebahagian besar penduduk di ibu negara memilih untuk menaiki bot sebagai kaedah pengangkutan ke tempat kerja atau untuk menyertai tunjuk perasaan itu.                      
Mereka dijadual mara ke Rumah Kerajaan yang menempatkan pejabat Yingluck kira-kira 9.39 pagi dan dijangka tiba di lokasi tengah hari ini, dan di sepanjang jalan mereka mengibarkan bendera Thailand serta membunyikan wisel. - Bernama

Tiada ulasan: