09 Disember 2013

Banjir: Antara ujian dan kerosakkan akibat tangan manusia

5 Safar 1435H. [MOD] -
Kami berpandangan sudah sampai masanya kerajaan dan semua pihak dengan jujur meneliti musibah alam yang semakin besar dan semakin kerap di negara ini.

Kami berpendapat bahawa kebanyakan bencana alam berpunca daripada kerosakan yang dilakukan oleh manusia yang terdiri dari kerajaan, perancang, pelaksana, penguatkuasa dan gaya hidup rakyat .

Sekadar menyenaraikan musibah yang sering dianggap bencana alam yang ditentukan Tuhan.  yang telah berlaku dan terus berulang seperti tanah runtuh , jerebu,  banjir besar , bangunan runtuh, kemarau melampau , ribut taufan, tsunami, gempa bumi, kerosakan tanaman dan wabak penyakit.

Tidak sedikit harta bernilai jutaan ringgit dan nyawa yang hilang akibat bencana alam. Kos operasi menyelamat dan bantuan kecemasan serta perbelanjaan pasca bencana juga menelan ratusan juta ringgit lagi.

Namun semua ini, kami teliti, adalah berkait dengan kecuaian dan keangkuhan manusia melanggar peraturan alam yang dicipta Tuhan.

Kesemuanya punya sebab musabab. Sangat naif jika ada yang berhenti pada kalimah takdir Yang Maha Berkuasa, padahal sejumlah ayat Illahi menjelaskan bencana alam adalah akibat perbuatan tangan manusia yang bertindak diluar batasan.

Sesungguhnya semua pihak perlu akur betapa alam ini dengan sistem dan aturannya berfungsi dengan kesimbangan yang amat sensitif. Kesimbangan yang takkan mampu difahami seluruhnya oleh akal manusia yang kerdil.

Setiap unsur alam ini dicipta Tuhan dengan tujuan dan hikmahnya yang tersendiri. Itupun takkan dapat dimengerti sepenuhnya semua nama-namanya, apatah lagi tujuan ia dicipta .

Sama ada berupa unsur alam maha besar dan gagah seperti gunung yang tersergam indah dan kukuh atau laut yang terbentang luas atau organisme yang sangat halus seskala mikro yang tidak dapat terlihat oleh pancaindera kasar.

Yang pasti semua yang dicipta oleh Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Tahu, sama ada yang nampak secara zahir mahupun yang halus, punya sistemnya dan tujuannya yang  tersendiri dalam skima ciptaan yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segalanya.

Oleh hal yang demikian kita harus insaf bahawa sesungguhnya alam ini dengan segala keragamannya perlu diurus dengan teliti dan penuh hormat. Kita hanya faham secebis daripada keseluruhannya penciptaan Tuhan yang Maha hebat ini.

Tatkala sikap angkuh dan tamak menguasai manusia yang membentuk kerajaan atau konglomerat yang hanya mahu mengambil faedah semerta dan keuntungan lumayan dari alam yang sangat sensitif ini, pertembungan antara manusia  dengan alam akan berlaku.

Akibat keangkuhan dan ketamakan manusia yang hanya mementingkan keselesaan, alam diperkosa dengan nafsu serakah.

Kerana  menanggapi alam ini hanya untuk dieskploitasi semahunya, maka dengan sebab itu alam telah disalah urus. Akhirnya manusia akan menerima natijah buruk yang diperlihatkan oleh Pencipta alam ini  secara zahir kepada manusia yang jelas melampaui batas.

Inilah yang diisyaratkan pada ayat 41 Surah ar-Rum.

“Telah tampak kerosakan di darat dan dilaut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (kejalan yang benar).”

Kenyataannya ialah sesuatu bencana alam tidak boleh hanya dirumuskan kepada kata-kata "ujian Tuhan" semata-mata. Akan tetapi yang harus dilihat juga ialah sebab ujian itu diturunkan Tuhan. Yang jelas ia  adalah natijah daripada suatu perlanggaran manusia terhadap hukum alam yang ditetapkan Tuhan. Tuhan yang mencipta alam dengan segala kesimbangan, dirosakkan dengan rakus oleh tangan manusia yang digerakkan oleh hati dan akal yang angkuh dan tamak.

"..... Merasakan sebahgian dari (akibat) perbuatan mereka..." jelas adalah tempelakkan Tuhan yang mengisyaratkan agar manusia meneliti apakah yang telah dilakukan oleh mereka sehingga Allah mahu manusia merasa sendiri akibat keangkuhan dan salahurus sumber alam yang dianugerah oleh manusia.

Dengan inilah kami mengesa semua pihak melangkau lebih dari hanya bertindak menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Respon yang juga sangat perlu diambil ialah melihat apakah punca yang menyebabkan banjir berskala ini boleh berlaku.

Soalnya banjir besar di Jitra dan Kota Tinggi sepatutnya menjadi asas untuk pihak berkuasa mencari punca kenapa ia boleh berulang di Pahang dan Terengganu.

Sememangnya ujud fenomena alam yang boleh diterima sebagai faktor diluar kuasa manusia untuk mengawalnya. Namun tidak juga boleh diketepikan bahawa pola pembangunan yang dilaksanakan serta penyelenggaraan yang lemah terhadap segala prasarana yang dibina telah menyebabkan fenomena bencana alam itu berlipat kali ganda kesannya .

Apabila bumi telah ditutupi konkrit, bukit yang sepatutnnya boleh menyerap air hujan kerana diliputi tumbuhan telah ditarah dan dibotakkan, perancangan pembangunan yang memadatkan kawasan penduduk dan kawasan industri, kapasiti perparitan untuk saluran air tidak mampu menampung air yang berlebihan, pemendapan sungai berlaku dengan kadar yang tinggi akibat pembalakan dan  hakisan tanah bukit yang tersalur ke sungai, maka pasti, semuanya boleh menyumbang kepada banjir yang luar biasa.

Pelbagai langkah mitigasi banjir hanya boleh berkesan jika punca pemusnahan alam yang telah melemahkan daya tahan persekitaran untuk menyerap dan menampung sebahagian dari hujan yang berlebihan itu dapat ditangani lebih dahulu.

Projek pelebaran perparitan dan mendalamkan sungai serta mengukuhkan ban sungai tidak boleh bertahan lama untuk menampung hujan yang berlebihan.

Yang seharusnya dilihat ialah pembangunan bandar itu sendiri. Berapa banyak ruang yang telah dikonkrit , berapa banyak kawasan yang sudah dibangun dengan perumahan, pejabat dan kawasan industri serta berapa kawasan bukit dan hutan bakau yang telah dimusnahkan.

Semua perkara ini membawa kepada meningkatkannya potensi air sungai melimpah dikala musim hujan yang berlebihan.

Demikian juga harus diteliti pembalakkan yang berlaku dikawasan hulu yang menyebabkan hakisan dan pemendapan sungai berterusan berlaku sehingga langkah mendalamkan sungai tidak dapat diatasi dengan berkesan.

Kami  menetapkan bahawa jika kerajaan bersungguh untuk mengambil iktibar dari banjir besar yang melanda bandar seperti yang berlaku sekarang di Kuantan dan Kemaman, maka segala kerosakkan alam sekitar yang berkaitan hendaklah ditangani. Bermakna segala projek pembangunan yang berkaitan dengan penambahan bangunan, perumahan , perindustrian dikawasan bandar hendaklah disemak semula.

Tiada ulasan: