26 Disember 2013

Menjelang Tahun Melawat Malaysia, syarikat bas pelancong bimbang kekurangan diesel

22 Safar 1435H. [MOD] -

Pengendali bas pelancong mendakwa subsidi 20 juta liter diesel tidak mencukupi dan meluahkan kebimbangan kekurangan bahan bakar itu memberi kesan kepada industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia yang bermula Januari ini.
“Semasa waktu cuti sekolah, banyak warga tempatan bercuti di dalam negara dan menggunakan perkhidmatan bas, maka jika isu itu tidak ditangani, pendapatan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan akan mencatatkan penurunan,” kata presiden Persatuan Pengusaha Bas, Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Syarikat pelancongan menyalahkan Putrajaya kerana tidak memperuntukkan lebih diesel bersubsidi, namun kerajaan menolak dakwaan itu dengan berkata bekalan mencukupi.
Sementara pemilik stesen minyak melihat penyeludupan salah satu punca kepada kekurangan bahan bakar itu.
Menurut Ashfar, sektor pelancongan dalam negeri paling terkesan dengan bekalan diesel yang berkurangan.
“(Bagi) pelancongan dalam negeri, biasanya pelancong akan diambil di lapangan terbang dan dibawa bersiar-siar yang melonjakkan sektor pelancongan negara,” katanya.
Beliau berkata pengendali bas pelancong telah mengadu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang mengawal kuota diesel bersubsidi, supaya bekalan diesel ditambah.
“Masalahnya adalah permintaan bertambah tetapi bekalan tidak mencukupi. Apabila subsidi dikurangkan, lebih banyak bekalan boleh dipasarkan,” tambahnya.
Menterinya, Datuk Hassan Malek berkata kerajaan faham akan masalah yang disuarakan Ashfar dan melakukan yang terbaik untuk industri itu.
“Saya memahami masalah itu tetapi mereka juga harus faham, kementerian telah memberikan semua keperluan kepada pemilik bas untuk bertahan dalam industri.
“Saya akan meneliti masalah ini dan menyelesaikannya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya.
Hassan berkata sebanyak 20 juta liter diperuntukkan, di mana lima juta liter daripadanya dihantar ke Sabah, selepas pertemuan bersama syarikat minyak.
“Kita telah pun meluluskan kuota diesel tambahan dan pengedaran ke stesen minyak telah pun bermula. Tiada masalah bekalan,”  katanya.
Hassan menafikan terdapat penyusutan bekalan sebaliknya mendakwa bekalan mencukupi dan kuota tidak boleh ditambah bagi mengelakkan penyeludupan diesel.
Sementara itu, presiden Pengusaha Stesen Minyak, Datuk Hashim Othman, berkata bekalan diesel dalam negara mencukupi walaupun terdapat beberapa faktor yang boleh mengundang kepada masalah itu.
“Apa yang kurang adalah subsidi dan jumlah besar penyeludupan. Biar pun kuota ditambah, selagi ada penyeludupan, masalah tidak akan selesai.
Hashim berkata kemelut tersebut harus segera dihentikan dengan pengurangan harga pasaran diesel dan kadar subsidi.
“Syarikat pengeluar minyak mempunyai had berapa banyak yang boleh diedarkan ke stesen minyak setiap bulan. Masalahnya ada yang tidak mematuhi peraturan ini. Ada kes pemilik stesen minyak menjadi ‘kambing hitam’.”
Beliau turut mendedahkan sebahagian besar subsidi petrol tidak sampai kepada pengguna sasaran.
“Perniagaan ini menguntungkan. Bagi mengatasi penyeludupan, subsidi perlu dikurangkan kerana apabila harga tidak begitu berbeza dengan pasaran semasa, ia menutup peluang penyeludupan,” katanya.
themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: