27 Januari 2014

'Bekir ada kepentingan dalam 85 syarikat asing'

25 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Seorang akauntan bertauliah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bahawa anak lelaki kepada ketua menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mempunyai kepentingan dalam 85 syarikat asing, termasuk Sakthi International yang berpangkalan di California.

Bagaimanapun, Andrew Heng, 39, (kanan), mengakui laporan yang dibuatnya untuk pendengaran Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, tidak termasuk 85 syarikat tersebut.

Peguam Rafie Mohd Shafie, yang mewakili bekas isteri Mahmud - Shahnaz A Majid - memberitahu mahkamah bahawa syarikat-syarikat tersebut berpangkalan di Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Perkara itu, kata Rafie adalah untuk pendengaran tuntutan harta sepencarian Shahnaz, di mana beliau tuntutan RM300 juta yang tiada kaitan dengan tuntutan RM100 juta mutaah dalam perbicaraan di hadapan mahkamah.

Ini membawa kepada hakim syariah, Mohamad Abdul Wahab tidak merekodkan kenyataan Heng berkaitan syarikat-syarikat asing.

Bagaimanapun, di luar mahkamah, Bekir menafikan mempunyai kepentingan dalam 85 syarikat tersebut.

"85 syarikat itu tidak wujud. Adakah anda tahu sesiapa yang mempunyai 85 syarikat?" tanya Bekir.

Sebelum itu, Heng memberitahu Mahkamah Bekir mempunyai kepentingan dalam 49 syarikat tempatan.

Heng berkata maklumat tersebut berdasarkan carian syarikat yang dijalankan oleh firmanya antara Mac dan Julai 2013.

Menjawab soalan peguam Rafie Mohd Shafie  mewakili Shahnaz (kanan), Heng berkata beliau diminta melalui surat untuk menyediakan laporan mengenai aset bekas suami Shahnaz.

Heng berkata terma berurusan adalah menjalankan carian syarikat di Malaysia, di pejabat tanah Sarawak mengenai status tanah tertentu, mengumpul dokumen sokongan yang mencukupi sebagai bukti untuk menyokong pegangan Mahmud.

Menurut Heng lagi, beliau turut membuat penilaian mengenai pegangan saham dan laporan yang dibuat berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi.

Sehubungan itu, Heng berkata berdasarkan carian syarikatnya mendapati Mahmud mempunyai kepentingan dalam 49 di Malaysia dan antaranya termasuk Achijaya Communications Sdn Bhd.

malaysiakini.com

Tiada ulasan: