27 Januari 2014

Terkini : ADUN Kajang letak jawatan

25 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat hari ini

Perkara itu diumumkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan pada hari ini.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan kerusi DUN N25 Kajang dikosongkan dan SPR seharusnya menjalankan pilihan raya kecil dalam masa 60 hari," kata Yeoh.

Surat peletakan jawatan Adun Kajang Lee Chin Cheh. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.Surat peletakan jawatan Adun Kajang Lee Chin Cheh. 

Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee (kanan) sendiri.

Dalam pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.

Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.


Ketika diasak media apakah punca peletakan jawatan Lee, Hannah berkata beliau (Lee) tidak menyatakan sebarang alasan di dalam surat tersebut.
"Anda patut tanya beliau sendiri mengenai alasan peletakan jawatan itu. Tugas saya sebagai Speaker hanyalah dimaklumkan mengenai perkara itu dan saya telah menerima surat daripadanya," kata Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Speaker Selangor Hannah Yeoh mengesahkan kekosongan kerusi DUN Kajang petang hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.Speaker Selangor Hannah Yeoh mengesahkan kekosongan kerusi DUN Kajang petang hari ini. 
Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan itu ada kena mengena dengan kemelut dalaman membabitkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Adun Gombak, Mohamed Azmin Ali, Hannah menjawab,"tiada komen."
"Saya tak nak komen mengenai perkara itu. Malah saya turut terkejut dengan peletakan jawatan Lee," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada peletakan jawatan tersebut dilakukan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Hannah berkata, beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana ia hanyalah khabar angin.
"Saya tak nak komen mengenai calon kerana berita tentang Anwar hanyalah khabar angin. Apa yang boleh saya katakan, hari ini kerusi N25 (Kajang) telah dikosongkan dan kerusi itu milik PKR ," katanya.
Sebelum itu, portal berita The Star Online melaporkan yang Abdul Khalid telah bersetuju untuk meletak jawatan sebagai menteri besar dalam masa terdekat ini.
Laporan yang memetik sumber-sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyebut yang Abdul Khalid dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan pada Rabu ini.
Mereka berkata, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Satu pilihan raya kecil dijangka terpaksa diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor sebelum mengambil alih kedudukan tersebut.
Ketua Pembangkang , Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan segera menafikan spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Spekulasi...Terdapat cadangan ini sejak 2008 lagi," jawabnya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini pada Isnin.
Menurut Anwar, beliau telah menemui Abdul Khalid seperti biasa dan kali terakhir pada Jumaat dan bukan hari Ahad sepertimana yang dilaporkan media.
"Saya bertemu beliau (Abdul Khalid) setiap minggu. Seperti biasa kami bertemu di pejabat atau di rumah," kata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika ditanya berkaitan spekulasi yang dia telah mencapai persetujuan dengan Khalid Ibrahim untuk mengambilalih kerusi menteri besar.
Ditanya adakah perbincangan mereka menyentuh mengenai kedudukan menteri besar Selangor, Anwar berkata, ia hanya melibatkan perkara penting berkenaan parti dan negeri tersebut sahaja.
Selain itu, beliau turut bertanya sekiranya terdapat cadangan mengenai kerusi yang 'selamat' untuk ditandingi bagi melayakkannya menjadi menteri besar.
"Kerusi selamat? Boleh anda cadangkan satu kerusi yang selamat di Selangor?" soalnya sambil sekali lagi menolak spekulasi berkenaan.
Adakah mungkin DS Anwar akan bertanding sebagai calon PKR DUN Kajang dan sekali gus menjawab spekulasi di atas ?

Tiada ulasan: