06 Februari 2014

DAP: Kerajaan beku kenaikan tol kerana PRK Kajang

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Tindakan kerajaan membekukan kenaikan tol bagi 2014 semalam merupakan satu taktik oportunis dan sebagai usaha untuk memenangi hati pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang akan berlangsung pada 23 Mac ini walaupun terpaksa membayar RM400 juta kepada syarikat konsesi, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu berkata, Barisan Nasional (BN) hanya berubah nada, namun tidak pada kata-katanya dalam hal pembekuan kenaikan kadar tol selama setahun walaupun pernah berjanji untuk mengurangkan kadar tol di antara bandar dalam manifesto mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.


"Pengumuman yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin bahawa Kabinet tidak akan mengenakan sebarang kenaikan tol pada 2014 adalah satu taktik oportunis yang jelas digunakan oleh BN untuk menyenangkan hati pengundi BN di Kajang pada 23 Mac 2014.
"Walaupun mereka berjanji dalam manifesto PRU13 untuk mengurangkan kadar tol antara bandar, kerajaan persekutuan BN mengumumkan akan terdapat banyak kenaikan kadar tol pada tahun ini.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar malah memberitahu bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan kenaikan kadar tol boleh menggunakan jalan alternatif yang tidak bertol, meskipun tidak ada sebarang jalan alternatif untuk sesetengah laluan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, tindakan kerajaan semalam hanyalah penyelesaian jangka pendek kerana kadar tol pasti akan naik juga pada 2015.
"Langkah taktikal demi pilihan raya kecil Kajang ini menunjukkan bahawa BN sudah terlupa bagaimana untuk mentadbir dan hanya melakukan pendekatan memerintah sehari demi sehari hanya berdasarkan ketergesaan politik dan bukan prinsip kepentingan umum," katanya.
"Ini bukanlah jalan penyelesaian yang tepat memandangkan RM400 juta tersebut akhirnya akan ditanggung dan dibayar juga oleh rakyat. Kenapa mesti beberapa syarikat konsesi tol mendapat faedah hasil kerugian 28 juta rakyat biasa,” katanya.
Lim berkata, reformasi sebenar terhadap kontrak lebuh raya yang begitu berat sebelah hanya dapat dilaksanakan apabila tidak ada keperluan untuk menggunakan wang rakyat bagi membuat bayaran pampasan kepada syarikat tol apabila kenaikan kadar tol ditunda atau dimansuhkan.
"Lagipun kebanyakan pengendali lebuh raya bertol sudahpun mendapat faedah dan pulangan modal asal, (contohnya ialah pengendali Jambatan Pulau Pinang mengutip lebih RM2 bilion, dengan kos asal RM1.3 bilion). Apa yang mereka perolehi sekarang adalah keuntungan bersih semata-mata," katanya.
Semalam, Putrajaya memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tol tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi menangani kos sara hidup yang meningkat.
Timbalan perdana menteri berkata, langkah itu akan melibatkan kos sebanyak RM400 juta kepada kerajaan yang perlu dibayar sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Pengumuman itu dibuat selepas Muhyiddin mempengerusikan jawatankuasa khas Kabinet untuk menangani kenaikan kos sara hidup.
Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM120 juta kepada Fama, Nekmat dan Nafas bagi memastikan bekalan makanan mencukupi di pasaran.
Pada tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, adalah mustahil untuk menghentikan kenaikan kadar tol pada tahun ini kerana perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya .
Beliau berkata, Putrajaya terpaksa mengeluarkan RM400 juta sebagai ganti rugi kepada pemegang konsesi tol selepas semakan kadar tol dibekukan yang sepatutnya dilaksanakan pada 2011 mengikut  perjanjian konsesi.
themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: