26 Ogos 2021

Kawalan sempadan diperketat, elak penyeludupan daun ketum

 

Baru-baru ini Thailand mengeluarkan daun ketum daripada senarai dadah berbahaya sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka. (Gambar Bernama)

KUALA NERANG: Polis Kedah akan memperketatkan kawalan di sempadan bagi memastikan aktiviti penyeludupan daun ketum ke Thailand tidak berlaku susulan langkah kerajaan negara itu mengeluarkan tumbuhan berkenaan daripada senarai dadah berbahaya.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, walaupun Thailand telah mengambil langkah itu, undang-undang di Malaysia tetap sama, iaitu aktiviti jual beli daun ketum adalah salah.

“Sebelum ini, memang kita sedia maklum banyak sindiket berkaitan penyeludupan daun ketum ini, ada di utara, ada di selatan. Jadi polis akan membuat pengawalan ketat di pintu sempadan terutamanya menerusi Op Benteng.

“Kita akan gunakan semua elemen kekuatan yang ada termasuk daripada agensi penguat kuasa yang lain untuk pastikan aktiviti penyeludupan ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan menerusi program Op Bantu kepada beberapa penerima di daerah Padang Terap, semalam.

Beliau diminta mengulas langkah Thailand mengeluarkan daun ketum daripada senarai dadah berbahaya sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka baru-baru ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain turut menyatakan permintaan daun ketum di negara ini dijangka meningkat dan aktiviti penyeludupan tumbuhan itu juga mungkin akan bertambah susulan langkah kerajaan Thailand itu.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, polis mengingatkan mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan banjir ekoran fenomena kepala air di Yan supaya berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah itu.

“Buat masa ini keadaan jalan di sana sempit, banyak kenderaan keluar masuk hingga menyebabkan kesesakan dan tambahan pula Kedah masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara, Yan juga masih ada lokasi yang zon merah.

“Kita tidak mahu nanti muncul pula ‘kluster Yan’, jadi saya minta kerjasama semua pihak kalau mahu membantu dibenarkan tetapi perlu ikut saluran yang betul. Jangan risau, PKOB akan atur semuanya daripada penghantaran sumbangan sehinggalah bersihkan rumah mangsa mereka akan atur,” katanya.

Bernama/-

Tiada ulasan: