17 September 2021

Kemboja suntik vaksin COVID-19 kanak-kanak seawal 6 tahun

 Kemboja mula suntik vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak seawal usia 6 tahun. - Foto AGENSI

Kemboja mula suntik vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak seawal usia 6 tahun. - Foto AGENSI

PHNOM PENH: Kemboja hari ini memulakan program imunisasi COVID-19 kepada golongan kanak-kanak seawal usia enam tahun meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi meluluskan pemberian vaksin kepada golongan di bawah 12 tahun.

Menurut Kementerian Kesihatan, negara itu mendapat pujian susulan kepantasan program vaksinasinya yang menyaksikan lebih 98 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos, sekali gus berada di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Program imunisasi kepada kanak-kanak itu dimulakan dengan pemberian vaksin kepada cucu Perdana Menterinya, Hun Sen dan wakil pihak kerajaan lain yang menerima suntikan Sinovac di hadapan pihak pemberita di Phnom Penh.

Hun Sen berkata, pelaksanaan program imunisasi kepada golongan kanak-kanak ini disifatkan penting.

"Adalah penting untuk kami melaksanakan usaha ini kerana kita mahu lebih ke depan," katanya.

Kemboja merancang memberikan dua suntikan vaksin keluaran China itu kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun sebelum memperluaskannya kepada suntikan tambahan selepas ini.

Pemimpin yang didakwa mengenepikan aspek keselamatan vaksin kepada kanak-kanak itu berkata, Kemboja bertanggungjawab melindungi nyawa rakyatnya ketika pembukaan semula ekonomi dan sektor pendidikan.

Sinovac diluluskan penggunaannya kepada golongan dewasa di lebih 50 negara dengan China membenarkan penggunaan vaksin itu kepada kanak-kanak.

Namun, sehingga kini pakar kesihatan awam belum dapat mengenalpasti sama ada ia boleh digunakan kepada kanak-kanak.

Sebelum ini, WHO menggesa semua negara supaya menangguhkan pemberian vaksin kepada golongan berusia di bawah 12 tahun.

"Ini kerana lebih banyak bukti diperlukan dalam penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak sebelum ia digalakkan kepada umum," kata WHO.

Kajian global berhubung keberkesanan Sinovac terhadap golongan berusia antara enam bulan hingga 17 tahun dilancarkan minggu lalu, membabitkan 14,000 responden di Afrika Selatan, Chile, Kenya, Malaysia dan Filipina. - AFP

Tiada ulasan: