Kota Bharu: Kebenaran solat Jumaat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) hari ini, adalah langkah awal sebelum masjid dibuka untuk aktiviti keagamaan yang lain.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kebenaran itu menggembirakan penduduk Kelantan yang masih lagi berdepan dengan Covid-19.
"Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana keadaan di negeri Kelantan sudah beransur pulih (Covid-19) dan kerana itu solat Jumaat ini dibuka namun terhad kepada 40 orang sahaja dahulu.
"Ini adalah langkah awal dan Tuhan mengizinkan, maka solat Jumaat serta fardu dapat ditunaikan (di masjid)," katanya ketika ditemui di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.
Mohamad Shukri berkata, kes Covid-19 di negeri ini masih lagi melebihi 1,000 kes, namun pembukaan masjid untuk solat Jumaat dan fardu itu disambut baik oleh semua.
"Kita mohon ke hadrat Allah SWT supaya Covid-19 ini dapat segera dipulihkan dan umat Islam dapat menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain seperti biasa," katanya.
Pada perkembangan yang lain, ketika diminta mengulas berhubung ada segelintir individu yang masih menolak vaksin Covid-19, Mohamad Shukri berkata, ajaran agama ini salah satunya adalah ibadah di mana perlu berdoa dan bertawakal.
"Menjadi ajaran agama seperti yang Nabi sebut 'hambat (halau) dulu unta, kemudian bertawakal' maknanya sekarang ini kita memakai pelitup muka, vaksin dan penjarakan sosial. Semua itu kita panggil usaha-usaha secara fizikal.
"Jadi kepada semua yang masih lagi ragu-ragu dengan vaksin ini, harap mengubah fikiran supaya menerima (vaksin), kerana ini adalah satu usaha.
"Mengambil ubat dan pencegahan ini adalah harus untuk menghadapi musibah ketika ini dan keharusan ini kita perlu guna dengan sebaik-baiknya," katanya.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan