17 September 2021

Samsung lancar Galaxy Z Fold 3, Galaxy Z Flip 3

 

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd melancarkan secara rasmi siri Galaxy Z di negara ini dengan pelancaran Galaxy Z Fold3 5G dan Galaxy Z Flip3 5G.

Presiden SME Edward Han berkata generasi terbaharu telefon pintar boleh lipat itu akan memenuhi segala jangkaan daripada reka bentuk ikonik hinggalah kepada hiburan yang menarik.

"Telefon pintar arus perdana Galaxy Z Fold3 5G dan Galaxy Z Flip3 5G lebih mudah diakses, lebih tahan lama dan direka untuk pengalaman yang lebih lancar.

"Sebagai peneraju industri yang mempelopori teknologi boleh lipat, Samsung percaya peranti kami dapat berfungsi dalam memperkasakan aktiviti kami menerusi ekosistem yang dibina berdasarkan fleksibiliti, keterbukaan, intuisi dan inovasi," katanya pada acara demonstrasi maya 'New Era, Life Opens Up with Galaxy' (Era Baharu, Hidup Lebih Terbuka dengan Galaxy) hari ini.

Dengan harga runcit yang bermula dari RM6,699 bagi Galaxy Z Fold3 5G, dan dari RM3,999 bagi Galaxy Z Flip3 5G, pengguna boleh membuat pesanan di Samsung Experience Stores dan peruncit terpilih yang sah mulai 22 September 2021.

Proses penghantaran dan ketersediaan telefon pintar itu dijangka bermula pada 5 November 2021.

Pada acara itu, SME turut mengumumkan tawaran luar biasa bagi setiap pembelian Galaxy Z Fold3 5G dari 22 September hingga 31 Oktober 2021.

Tawaran itu termasuklah baucar RM500 dan pelan setahun Samsung Care+ bernilai RM799.

Selain itu, pengguna yang membeli Galaxy Z Flip3 5G semasa tempoh promosi akan menerima baucar RM350 dan pelan setahun Samsung Care+ bernilai RM699.

SME berkata dengan pembelian Galaxy Z Fold3 5G atau Galaxy Z Flip3 5G antara 14 September dan 30 November 2021, pelanggan juga layak menerima diskaun 30 peratus bagi tiga aksesori terpilih.

– Bernama

Tiada ulasan: