17 September 2021

Ni Hsin jalin kerjasama dengan TAILG untuk kenderaan elektrik

 MODEL motosikal EV yang dicadangkan untuk kerjasama dengan TAILG.

MODEL motosikal EV yang dicadangkan untuk kerjasama dengan TAILG.

Kuala Lumpur: Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Ni Hsin Group Berhad (Ni Hsin), hari ini memeterai memorandum persefahaman dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co Ltd (TAILG).

Ia bagi kolaborasi dan meneroka peluang di dalam kajian, penyelidikan, pembangunan, pemasangan dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) disesuaikan untuk tujuan komersial di Malaysia dan rantau Asean.

TAILG adalah satu daripada tiga pengeluar utama kenderaan dua roda elektrik di China yang memiliki kehadiran di lebih 75 negara.

Bahagian penyelidikan dan pembangunannya yang sudah menghasilkan lebih 420 paten berkaitan EV berprestasi tinggi, kecekapan dipertingkatkan dan perkhidmatan awan.

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, Khoo Chee Kong berkata, sektor pengangkutan bertanggungjawab kepada 14 peratus pelepasan gas rumah hijau global.

Oleh itu katanya, cabaran untuk mengurangkan pelepasan asap pengangkutan terbukti semakin penting.

"Ia meletakkan penekanan terhadap perubahan teknologi dan organisasi, memacu dunia ke arah elektromobiliti dan pengangkutan sifar pelepasan asap dengan kesan kemuncak mengurangkan pelepasan asap di dalam sektor ini dan menambah baik kesihatan.

"Perniagaan-perniagaan sudah mula menggunakan EV untuk penghantaran kerana ia memberikan penjimatan ketara dari segi penyenggaraan dan kos operasi disebabkan sistem mekanikal yang secara radikal lebih mudah iaitu tidak perlu disenggara selalu, seperti memerlukan penukaran minyak yang sangat mahal.

"Gergasi industri seperti Amazon, Flipkart, IKEA, Swiggy dan Grofers sudah pun menggunakan motosikal elektrik untuk penghantaran di kebanyakan bandar raya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

TAILG ditubuhkan pada 2004 sudah memenangi pelbagai anugerah termasuk Perusahaan Berteknologi Tinggi Kebangsaan dan Asas Latihan Kualiti Kebangsaan China dan menyediakan model-model EV kepada China Telekom, Baidu Takeaway serta Procter & Gamble.

Kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) adalah fokus kuat di dalam operasi TAILG, dan syarikat ini juga rakan kepada Program E-mobiliti Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Khoo berkata, pembabitan Ni Hsin Group ke dalam perniagaan e-mobiliti adalah berkaitan kelestarian perniagaan serta komitmen kepada kriteria kemampanan ESG.

Beliau menambah, bagi menyokong perniagaan konsep cafe@anywhere, pihaknya mewujudkan prorietari Mesin Minuman Bergerak yang menggunakan motosikal EV untuk menggerakkan operasi mesin kopi dan menyajikan kopi BLACKBIXON kepada pelanggan di lokasi popular di seluruh negara ini.

Katanya, Ni Hsin berhasrat untuk meluaskan model perniagaan ini ke seluruh Asean.

"Menerusi kolaborasi ini kami akan bekerja bersama TAILG untuk membangunkan motosikal EV bagi pelbagai tujuan.'' katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: