08 September 2021

Lelaki amuk hayun sabit atas kereta polis ‘tewas’ dipancut air

 


Tangkap layar rakaman video menunjukkan seorang lelaki berdiri di atas kereta peronda polis dengan menghayunkan galah sabit sambil menjerit.

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk sambil menghayunkan galah sabit di atas kereta peronda polis di hadapan Balai Polis Gopeng, Perak.

Dalam kejadian sekitar 8 pagi tadi, lelaki dikatakan berusia lingkungan 60-an dipercayai kurang siuman itu ditahan selepas mendapat bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang memancutkan air ke arahnya.

Video kejadian itu yang dirakam oleh orang awam tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet.

Rakaman itu menunjukkan lelaki berkenaan berdiri di atas kereta peronda polis dengan menghayunkan galah sabit sambil menjerit.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata sebelum kejadian lelaki terbabit memasuki kawasan balai dengan menaiki motosikal dengan membawa parang dan sabit.

“Suspek kemudian dilihat melibas parang dan sabit dibawanya di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai tersebut. Pegawai polis yang bertugas bertindak menenangkan suspek.

“Suspek bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke ke Jalan Ipoh – Kuala Lumpur namun disekat oleh pihak polis, suspek memanjat kenderaan dan melibas parang dan sabit bagi mengelak didekati polis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan syabu, selain mempunyai 16 rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, suspek mengamuk dan merampas motosikal milik orang awam di kawasan pasar Lawan Kuda, kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum masuk ke Balai Polis Gopeng.

Dalam pada itu, polis turut merampas sebilah parang, sabit, sebuah motosikal dan empat kunci.

“Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1976, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya serta Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 , polis juga akan memohon perintah reman terhadap suspek esok,” katanya. FMT/-


Tiada ulasan: