08 September 2021

Pemimpin tertinggi Taliban arah laksana undang-undang Syariah

  Pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, yang mengetuai kerajaan baharu Afghanistan. - Foto AGENSI

Pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, yang mengetuai kerajaan baharu Afghanistan. - Foto AGENSI

KABUL: Pemimpin tertinggi kerajaan Taliban yang baharu mengarahkan undang-undang Syariah dilaksanakan, dalam perutusan pertamanya sejak mengambil alih kuasa.

Hibatullah Akhundzada, yang tidak pernah tampil di khalayak umum, menegaskan perkara itu menerusi satu kenyataan dalam bahasa Inggeris semalam.

"Saya memberi jaminan kepada penduduk Afghanistan bahawa kami (Taliban) akan berusaha keras menegakkan peraturan Islam dan undang-undang Syariah di negara ini," katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa pucuk pimpinan baharu itu akan memastikan 'keamanan berkekalan, kemakmuran dan pembangunan' serta menegaskan 'orang ramai tidak harus cuba meninggalkan negara itu'.

"Emiriah Islam ini tiada masalah dengan sesiapa, semua akan mengambil bahagian dalam memperkukuhkan sistem sedia ada bagi membolehkan kita membina semula Afghanistan yang terjejas akibat perang," katanya.

Kemunculan Akhundzada sebelum ini terhad kepada mengeluarkan kenyataan ketika musim perayaan umat Islam dan hanya sekarang Taliban mula mendedahkan kedudukannya, selepas mengambil alih Afghanistan 15 Ogos lalu.

Sejurus selepas pengambilalihan itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata beliau kini berada di Kandahar.

Seorang lagi jurucakap berkata Akhundzada akan melakukan penampilan umum dalam masa terdekat. - AFP

Tiada ulasan: