08 September 2021

Perompak larikan barang kemas 10 juta euro

 Polis melakukan penyiasatan selepas premis jualan barang kemas Bulgari di Place Vendome, Perancis dirompak. - Foto EPA

Polis melakukan penyiasatan selepas premis jualan barang kemas Bulgari di Place Vendome, Perancis dirompak. - Foto EPA

PARIS: Sekumpulan perompak melarikan barang kemas bernilai 10 juta euro (RM50 juta) dari premis Bulgari di Place Vendome di sini semalam.

Perompak yang dikejar polis itu dapat melarikan diri, kecuali dua suspek yang berjaya ditahan, menurut sumber kepada AFP.

Katanya, serangan terhadap premis barangan mewah di tengah ibu negara Perancis itu dilakukan sekitar tengah hari dan polis tiba tidak lama kemudian.

Suspek melarikan diri menggunakan kereta BMW berwarna kelabu dan dua buah skuter, yang mana salah seorang suspek berjaya ditahan selepas ditembak di kaki oleh polis.

Kereta BMW itu kemudian dilaporkan ditinggalkan manakala seorang lagi suspek ditemui menyorok di tempat letak kereta di pusat beli belah Les Halles, berdekatan muzium Louvre dan gereja Notre-Dame.

Polis Paris, menerusi Twitter, berkata tindakan pantas diambil susulan rompakan kedai barang kemas di Place Vendome dan dua suspek ditahan.

Sumber rapat penyiasatan berkata perompak berjaya melarikan barangan kemas bernilai 10 juta euro (RM50 juta) dari Bulgari, pereka barangan kemas tersohor yang juga sebahagian konglomerat barangan mewah Perancis, LVMH.

Rompakan terbabit adalah antara yang terbaru dalam siri beberapa rompakan kedai barangan kemas di Paris sepanjang musim panas ini.

Pada 27 Julai lalu, seorang lelaki mencuri barang kemas bernilai dua juta euro (RM9.8 juta) dari butik Chaumet sebelum melarikan diri menunggang skuter elektrik.

Namun, dia ditahan pada hari berikutnya bersama seorang lagi suspek dan kebanyakan barangan yang dirompak berjaya ditemui kembali.

Tiga hari kemudian, dua lelaki bersenjata merompak premis Dinh Van, melarikan barangan bernilai sekitar 400,000 euro (hampir RM2 juta). - AFP

Tiada ulasan: