Tidak ramai yang pernah mendengar mengenai diet BRAT. Diet yang juga dikenali sebagai diet pisang ini sebenarnya ialah salah satu daripada pelan diet yang banyak diamalkan di dunia.
Mari kita lihat apakah maksud diet BRAT ini dan mengapa digelar sebagai diet pisang.
Apakah diet BRAT?
Sebenarnya BRAT merupakan satu akronim yang diambil daripada perkataan pisang (bananas), nasi (rice), sos epal (applesauce) dan juga roti bakar (toast).
Oleh kerana itu, diet BRAT juga dikenali ramai sebagai diet pisang.
Sebelum ini, pakar perubatan kanak-kanak akan menyarankan anak kecil yang mengalami sakit perut untuk mengamalkan diet BRAT ini.
Ini kerana, jenis-jenis makanan yang disebutkan ini merupakan antara makanan yang lembut dan mudah dihadam.
Semua makanan ini mengandungi kandungan protein, lemak dan serat yang rendah, sekali gus menjadikan ia mudah dicerna.
Ia boleh membantu mengurangkan simptom sakit perut lalu mengurangkan jumlah tinja yang akan dihasilkan.
Selain sakit perut, diet ini juga disarankan kepada mereka yang mengalami cirit-birit dan masalah berkaitan perut yang lain.
Pro dan kontra diet BRAT
Walaupun diet ini amat popular dalam kalangan selebriti, kajian mengenai keberkesanan dan risikonya masih amat sedikit.
Terdapat beberapa kajian terhad yang menunjukkan pisang dan nasi boleh membantu mengurangkan gejala cirit-birit.
Satu kajian mendapati bahawa kanak-kanak dengan cirit-birit yang mengikuti diet suplemen pisang hijau pulih lebih cepat berbanding kanak-kanak yang tidak mengambilnya.
Kajian pada tahun 2016 pula mendapati diet sup nasi berkesan untuk merawat cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak.
Mengamalkan diet BRAT untuk jangka masa yang pendek, iaitu kurang daripada 48 jam berkemungkinan tidak akan menyebabkan sebarang risiko.
Walau bagaimanapun, penggunaan diet BRAT yang berpanjangan adalah agak berbahaya kerana diet pisang ini tidak mengandungi kandungan kalori, protein, lemak, serat, mineral, dan vitamin yang mencukupi.
Malah, American Academy of Pediatrics tidak lagi mengesyorkan diet pisang ini untuk menguruskan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak.
Doktor akan menyarankan penggunaan terapi hidrasi mulut dengan menggunakan minuman rehidrasi bagi merawat masalah tersebut.
Selain itu, American Academy of Pediatrics juga mengesyorkan agar kanak-kanak kembali mengambil makanan yang seimbang dan sesuai dengan usia mereka dalam masa 24 jam setelah jatuh sakit.
Mereka perlu mengambil gabungan makanan yang merangkumi campuran buah-buahan, sayuran-sayuran, daging, yoghurt, dan karbohidrat kompleks.
Kanak-kanak dan individu dewasa yang sakit juga perlu mengambil lebih banyak cecair untuk mengelak dehidrasi.
Bukan sahaja air minuman, tetapi mereka juga boleh mengambil cecair lain seperti sup dan minuman sukan untuk menggantikan kembali elektrolit yang telah hilang.
Bagaimana diet pisang ini berfungsi?
Dalam enam jam pertama setelah mengalami sakit perut, anda mungkin perlu berhenti makan dengan serta merta.
Ini bertujuan memberikan perut anda peluang untuk berehat seketika.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menunggu anda berhenti memuntahkan makanan atau cirit-birit dengan sepenuhnya.
Sementara menunggu untuk kembali makan, anda boleh minum air seperti air mineral atau minuman sukan.
Ini akan membantu menggantikan air dan elektrolit yang hilang.
Cuba juga tambahkan pelbagai cecair jernih lain ke dalam makanan anda dalam tempoh 24 jam selepas mengalami masalah perut.
Antara jenis cecair yang boleh anda ambil seperti jus epal, sup sayur atau sup ayam.
Sekiranya gejala kembali berlaku, hentikan minum cecair jernih dan tunggu beberapa jam sebelum anda kembali mencuba lagi.
Pada hari kedua, anda boleh memulakan diet BRAT ini. Memandangkan makanan dalam diet BRAT ini sangat terhad dan kurang bernutrisi, anda mungkin tidak akan mengamalkannya dalam tempoh yang lama.
Pada hari ketiga pula, anda boleh mula menambahkan makanan biasa secara perlahan-lahan ke dalam diet anda.
Mulakan dengan jenis makanan yang agak mudah untuk dihadamkan seperti telur rebus, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dimasak dan juga daging ayam.
Jangan makan dengan jumlah yang terlalu banyak kerana simptom mungkin akan kembali semula.
Ini yang anda boleh makan jika amalkan diet pisang
Sebilangan besar bersetuju bahawa anda boleh makan lebih banyak jenis makanan daripada sekadar pisang, sos epal, nasi, dan roti bakar apabila mengamalkan diet BRAT.
Paling penting, anda mesti mengambil makanan yang bersifat lembut pada perut.
Makanan yang boleh diterima untuk diet BRAT seperti makanan yang rendah serat dan boleh menghentikan cirit-birit.
Antara jenis makanan lembut yang boleh anda ambil seperti:
- Biskut
- Bijirin yang dimasak, seperti oatmeal
- Jus epal
- Sup atau kuah
- Kentang rebus atau kentang bakar
Selain itu, anda juga mestilah mengelakkan pengambilan makanan yang dikategorikan sebagai makanan yang tidak lembut dalam diet ini.
Antara jenis makanan yang perlu dielakkan iaitu:
- Susu dan produk tenusu
- Sebarang makanan yang digoreng, berminyak, berlemak, atau pedas
- Makanan tinggi protein seperti ikan salmon dan ikan sardin
- Sayuran mentah seperti daun salad, brokoli dan taugeh
- Buah-buahan berasid seperti beri, anggur, lemon, dan limau
- Minuman yang terlalu panas atau sejuk
- Minuman beralkohol
- Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan teh
Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
fmt/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan