25 September 2021

Stesen Kuala Lumpur antara stesen kereta api terindah di dunia

 

MESKIPUN sudah berusia lebih satu abad, seni bina Stesen Kuala Lumpur masih diakui antara yang paling indah di dunia. – Foto media sosial

PUTRAJAYA : Keunikan adunan imej gaya seni bina Barat dan Timur telah meletakkan Stesen Kuala Lumpur di ibu negara sebagai stesen kereta api kelima paling indah di peringkat global.

Laporan itu disiarkan menerusi halaman pengembaraan akhbar berpengaruh di India, Times of India baru-baru ini yang menyenaraikan 10 buah stesen kereta api tercantik antarabangsa.

Stesen Kuala Lumpur malah berjaya mengatasi Kanazawa Ishikawa, Jepun; Helsinki Central, Finland; Haydarpasa Istanbul, Turki; Dunedin, New Zealand dan Amsterdam Central, Belanda.

Akhbar diterbitkan di ibu kota New Delhi itu menamakan Stesen Chhatrapati Shivaji di Mumbai, India yang juga tapak warisan sejagat UNESCO sebagai stesen tren paling indah di dunia, diikuti pula terminal kereta api Grand Central di New York, Amerika Syarikat (AS); Stesen Antarabangsa Saint Pancras, London, England, Britain dan Stesen Ramses, Kaherah, Mesir.

Bagi Stesen Kuala Lumpur yang sudah pun berusia 111 tahun, akhbar tersebut menyatakan bahawa keindahannya disebabkan gabungan arkitektur era kolonial Inggeris dan Melayu jati, dengan seni reka tipikal Victoria, mendapat sentuhan idea dari pembantu arkitek warga British di Jabatan Kerja Raya, Arthur Benison Hubback itu siap dibina pada 1910 lalu.

Dibina kos RM23,000 iaitu nilai ketika itu, struktur utama bangunan sebenarnya hampir sama dengan Masjid Jamek Sultan Alam Shah dan Dewan Bandaraya Lama yang siap lebih awal, menggantikan stesen tren lama sebelum itu yang dikenali sebagai Resident Station dan dibuka pada 1886 dengan bahan binaan cuma daripada kayu dan atap bumbung berdaun nipah.

Rupa bentuk stesen gantian di tapak asal terletak di Victory Avenue (kemudian dikenali Jalan Sultan Hishamuddin) itu berasaskan gaya Neo Moor Mughal, Indo-Saracen dan Neo Saracen, dan lebih unik, bumbung stesen ini satu-satunya di rantau Asia Tenggara dan mungkin di negara beriklim tropika yang memang sengaja dibina agak tebal bagi menghadapi cabaran ribut salji.

Bangunan ini pernah jadi imej belakang wang kertas RM10 diterbitkan Bank Negara Malaysia pada 1983 selain lokasi pelbagai filem tempatan antaranya Masam Masam Manis pada 1965.

Ketika ini, stesen antara tertua di Malaysia itu hanya menjadi hentian persinggahan tren komuter laluan Batu Caves-Tampin dan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang serta ETS Arau-Gemas, namun, stesen ini turut menjadi lokasi persinggahan perkhidmatan kereta api mewah antarabangsa, Eastern and Oriental Express laluan Woodland, Singapura-Bangkok, Thailand.

Walaupun semakin ‘ditenggelami’ imej moden Stesen KL Sentral yang terletak kurang satu kilometer, Stesen Kuala Lumpur menjadi pilihan warga kota kerana dekat pusat bandar raya selain lokasinya strategik berhampiran dengan Masjid Negara, Pasar Seni, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Dayabumi dan pelbagai tarikan pelancongan di ibu kota. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: