25 September 2021

Kulit kayu tangar RM350,000 dirampas

 Anggota Batalion 20 PGA Beluran bersama agensi lain memeriksa bot membawa muatan kulit kayu tangar yang dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan. - Foto ihsan PGA Sabah

Anggota Batalion 20 PGA Beluran bersama agensi lain memeriksa bot membawa muatan kulit kayu tangar yang dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan. - Foto ihsan PGA Sabah

KOTA KINABALU: Operasi Op Khazanah Bersepadu menemui 10,000 kilogram kulit kayu tangar dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan, Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, semalam.

Dalam operasi jam 2 petang itu, kayu berkenaan ditemui ditinggalkan dalam sebuah bot dipercayai dari Filipina.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias, berkata operasi dijalankan pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Katanya, ketika rondaan pasukan operasi menemui sebuah bot berserta enjin yang tidak berdaftar dipercayai digunakan penceroboh.

"Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui mana-mana individu atau kesalahan lain di lokasi.

"Rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua kayu yang ditemui dianggarkan bernilai RM350,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, bot yang digunakan pula dianggarkan bernilai RM80,000 dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM450,000.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Enakmen Perhutanan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969.

"Jabatan Perhutanan kemudiannya melupuskan dengan membakar semua kulit kayu berkenaan termasuk bot ," katanya. bh/-

Bot bersama kulit kayu tangar dilupuskan dengan membakar semua termasuk bot yang disyaki dari Filipina.

Bot bersama kulit kayu tangar dilupuskan dengan membakar semua termasuk bot yang disyaki dari Filipina.

Tiada ulasan: