11 Oktober 2021

BNM luluskan RM16 bilion kemudahan pembiayaan

 - Hiasan.

- Hiasan.

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM16 bilion kemudahan pembiayaan kewangan diluluskan Bank Negara (BNM) bagi tempoh 6 Mac 2020 sehingga 28 Julai lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata, kelulusan pembiayaan itu membabitkan 37,959 akaun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima, diluluskan.

"Statistik bagi kemudahan pembiayaan itu adalah peruntukan RM10 bilion bagi Kemudahan Bantuan Khas yang diluluskan kepada lebih 21,000 akaun PKS dengan kadar kelulusan sebanyak 78.1 peratus.

"Selain itu, peruntukan RM6 bilion bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar, RM3.2 bilion diluluskan kepada 12,027 akaun PKS dengan kadar kelulusan sebanyak 83 peratus," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah permohonan pinjaman perniagaan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi negara sejak pandemik COVID-19 melanda.

Mengulas lanjut, Yamani Hafez berkata, sebanyak RM800 juta dana diluluskan bagi Kemudahan Teknologi Tinggi-Aspirasi Pelaburan Nasional dan setakat ini RM68 juta diluluskan kepada 47 akaun PKS.

"BNM turut meluluskan RM1 bilion bagi Kemudahan Automasi dan Digital berjumlah RM389 juta kepada 338 PKS dengan kadar kelulusan sehingga 82.4 peratus.

"Sejumlah RM954 juta diluluskan bagi Kemudahan Semua Sektor Ekonomi, Kemudahan Agromakanan (RM1.398 bilion) dan RM67 juta bagi Pembiayaan Pelancongan PENJANA," katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga sebab utama permohonan pembiayaan pemohon ditolak iaitu aliran tunai tidak mencukupi, perniagaan tidak berdaya maju dan tahap keberhutangan yang tinggi.

bharian/-

Tiada ulasan: