11 Oktober 2021

MP Pasir Mas: Batalkan cabutan khas judi 22 kali

 

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan membatalkan keputusan berhubung kenaikan cabutan khas judi 22 kali.

Beliau turut mempertikaikan keputusan kerajaan dengan mengambil kira cabutan khas judi tersebut bagi meningkatkan hasil perbelanjaan dalam negara.

“Berapa banyak sangatkah peluang wang yang dapat daripada kenaikan cabutan khas ini untuk kita serapkan kepada perbelanjaan untuk kembali kepada kumpulan wang yang disatukan yang pada akhirnya tidak mengundang keberkatan di dalam perbelanjaan negara.

“Buatlah apa sahaja untuk mencari pendapatan yang baru, tetapi saya mohon kepada kerajaan batalkan semula kerana ia tidak memberikan isyarat yang baik,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa kenaikan cabutan khas judi itu juga tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat untuk jangka masa yang panjang.

“Saya sangat berharap dan janganlah sama sekali memaksa kita Ahli Parlimen kerajaan menggunakan ugutan-ugutan yang tidak sepatutnya dalam keadaan kerajaan cuma bertahan dengan majoriti yang kecil.

Beliau berkata, tidak perlu untuk sampai kepada tahap itu dan meminta kadar cabutan judi itu dapat diturunkan semula, dibatalkan kenaikannya supaya akhirnya tidak mengundang kemurkaan daripada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 11/10/21

Tiada ulasan: