11 Oktober 2021

Hanya yang lengkap divaksin boleh makan di R&R

 Pengusaha premis makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian PLUS diingatkan supaya memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi dibenarkan makan di kedai atau ‘dine in’. - Foto hiasan NSTP

Pengusaha premis makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian PLUS diingatkan supaya memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi dibenarkan makan di kedai atau ‘dine in’. - Foto hiasan NSTP

SUNGAI BULOH: Pengusaha premis makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diingatkan supaya memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi makan di kedai atau 'dine in' susulan kebenaran merentas negeri bermula hari ini.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid, berkata seorang kakitangan juga akan ditempatkan di laluan masuk tempat makan berkenaan bagi mengingatkan orang awam untuk merekod suhu badan dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera.

"Kakitangan PLUS tidak boleh pantau prosedur operasi standard (SOP) semua pelanggan di R&R sebab itu pengusaha kedai perlu memainkan peranan dalam hal ini.

"Selain itu, pengunjung perlu mengamalkan kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui BH di R&R Jejantas Sungai Buloh, hari ini.

PLUS menjangka 1.3 juta kenderaan sehari di semua lebuh raya kendalian syarikat itu pada hujung minggu ini dan cuti umum Maulidur Rasul Selasa depan, berbanding 1.1 juta kenderaan sehari ketika ini.

"Sebelum penularan pandemik COVID-19 di negara ini, sebanyak 1.7 juta kenderaan direkodkan pada hari biasa manakala cuti umum atau hari minggu sebanyak 2.2 juta kenderaan," katanya.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui berkata, mereka mendapat kebenaran untuk merentas negeri sebelum pengumuman kerajaan semalam.

Kebenaran diberikan polis atas urusan keluarga dan kerja.

Ada juga yang ditemui mengaku menjamu selera di R&R berkenaan berikutan menetap dan kerja di kawasan berdekatan.

bharian/-

Tiada ulasan: