11 Oktober 2021

Lelaki Jepun pilih buang air kecil secara duduk kerana bimbang tersasar

 

Lelaki Jepun lebih memilih untuk duduk ketika membuang air kecil kerana bimbang akan menyebabkan tandas kotor. – Tech Tech/Kyodo


TOKYO – Satu kaji selidik mendapati bahawa kebanyakan lelaki di Jepun memilih untuk duduk berbanding berdiri ketika membuang air kecil kerana bimbang ‘sasaran’ mereka tidak tepat, lantas menyebabkan tandas kotor, lapor agensi berita Kyodo semalam.

Kaji selidik yang dijalankan oleh pengeluar peralatan mandian, Lion Corp. pada Jun lepas itu mendedahkan bahawa 60.9 peratus lelaki memilih untuk membuang air kecil secara duduk, dengan separuh daripada mereka bertukar daripada posisi berdiri sebelum ini.

Bagi lelaki yang memilih untuk duduk, 49 peratus daripada responden berkata, mereka mengubah posisi daripada berdiri kepada duduk, manakala 11.9 peratus sememangnya memilih posisi duduk sejak dahulu.

Hanya 2.7 peratus daripada golongan itu terdiri daripada lelaki berumur 60-an, manakala 25.7 peratus lagi berusia 20-an.

Alasan paling banyak diberikan adalah kerana melihat kekotoran yang dibuat (jika membuang air secara berdiri), dengan 37.3 peratus berkata, mereka dapat melihat kesan-kesan percikan air kecil akibat perbuatan mereka.

Selain itu, 27.9 peratus responden turut memberikan alasan bahawa tindakan itu adalah sebagai sikap bertimbang rasa kepada pencuci tandas, 19.3 peratus berpendapat mereka perlu membersihkan sendiri kekotoran serta 16.6 peratus yakin bahawa percikan air kecil tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Kaji selidik tersebut dilakukan dalam kalangan 1,500 orang lelaki berusia antara 20 hingga 60 tahun. – AGENSI

Tiada ulasan: