11 Oktober 2021

Gajah pigmi ditemui mati di Kinabatangan

 

Seekor gajah pigmi betina ditemui mati di kawasan Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, Sabtu lalu. (Gambar PDRM)

KINABATANGAN: Seekor gajah pigmi ditemui mati berhampiran Sungai Resang, Sukau, di kawasan Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Dzulbaharin Ismail berkata, bangkai gajah betina yang dipercayai berusia sekitar 25 tahun itu ditemui pasukan penyelidik hidupan liar kira-kira 8.30 pagi.

Katanya, hasil penemuan berkenaan, pasukan penyelidik kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan turut dibantu Jabatan Hidupan Liar (JHL), Unit Veterinar Sepilok dan Unit Penyelamat Hidupan Liar Kinabatangan.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang organ gajah yang hilang dan ia dipercayai mati dalam tempoh tiga hingga empat hari. Hasil bedah siasat mendapati, sebab kematian haiwan berkenaan dipercayai berpunca daripada keradangan organ dalaman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keradangan yang dikesan di usus serta perut menyebabkan organ dalaman gajah berkenaan gagal berfungsi dan menyebabkan kematian.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

FMT/-

Tiada ulasan: