30 Oktober 2021

COVID-19 bertambah buruk di Eropah minggu ini

 Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Gambar hiasan. - Foto AGENSI

PARIS: COVID-19 terus meningkat di Eropah minggu ini, khususnya di timur benua itu tetapi mencatat penurunan di beberapa wilayah lain di dunia.

Angka kes baharu harian global meningkat selama dua minggu berturut-turut kepada lima peratus iaitu 432,100 kes, menurut statistik dikumpul AFP semalam.

Bagaimanapun, kes disahkan hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada jumlah sebenar jangkitan, dengan amalan perakaunan berbeza dan tahap ujian yang berlainan mengikut negara.

Sebahagian besar peningkatan kes global berlaku di Eropah, yang mencatat penambahan 14 peratus dalam jumlah kes harian baharu direkodkan sepanjang minggu, dengan keadaan semakin teruk sejak hampir dua bulan lalu.

Negara yang mengalami lonjakan terbesar semuanya terletak di Eropah, terutama di timur dengan Republik Czech menyaksikan kes dua kali ganda (101 peratus).

Di Hungary kes meningkat 92 peratus, diikuti Denmark (80 peratus), Poland (70 peratus), Croatia (65 peratus) dan Slovakia (63 peratus).

Bagaimanapun, keadaan bertambah baik di setiap rantau lain di dunia dengan penurunan 16 peratus  kes di Asia Barat selain manakala sedikit melebihi 11 peratus di Afrika.

Asia pula mencatatkan enam peratus, tiga peratus di Amerika Latin atau zon Caribbean, dua peratus di Oceania dan kurang satu peratus di Amerika Syarikat (AS) serta Kanada.

Israel menyaksikan kes harian berkurangan 41 peratus, yang juga penurunan terbesar minggu ini, diikuti Cuba (36 peratus), Syria (24 peratus), Filipina (23 peratus) dan Venezuela (19 peratus).

AS kekal dengan jumlah kes baharu terbanyak iaitu 75,100 sehari, tidak berubah sejak minggu lalu, diikuti United Kingdom (42,100 kes, penurunan sembilan peratus) dan Russia (37,400 kes, peningkatan sebanyak 10 peratus).

Berdasarkan per kapita, negara mencatatkan paling banyak kes baharu minggu ini ialah tiga Negara Baltik, dengan Latvia mempunyai 925 kes bagi setiap 100,000 penduduk diikuti Estonia dengan 847 kes dan Lithuania 738 kes.

AS juga mencatatkan jumlah kematian terbanyak setiap hari, iaitu 1,471 kes, diikuti Russia dengan 1,095 kes dan Ukraine 545 kes.

Pada peringkat global juga terdapat peningkatan enam peratus dalam jumlah kematian harian iaitu sebanyak 7,344 kes tetapi ini banyak dipengaruhi statistik di India.

Taiwan mendahului kadar pemberian vaksin minggu ini, membabitkan 1.67 peratus penduduknya setiap hari, dalam kalangan negara mempunyai lebih daripada sejuta penduduk, diikuti Vietnam dengan 1.22 peratus dan Iran 1.18 peratus.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) kekal sebagai negara paling banyak divaksin di dunia membabitkan 87 peratus penduduknya, manakala Portugal pula 86 peratus.

COVID-19 yang mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019 setakat ini sudah merebak ke 221 negara dan wilayah di seluruh dunia, merekodkan 246,279,146 kes jangkitan termasuk 4,996,480 kematian. - AFP

Tiada ulasan: